Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia, Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif.

SERDANG – Kerajaan disaran supaya mengkaji semula syarat yang terkandung dalam permohonan bagi projek perumahan rakyat yang dibangunkan atas tanah sendiri dengan tidak meroboh rumah pusaka sedia ada.

Ia bertujuan bagi mengelak hilangnya identiti Melayu yang terdapat pada rumah lama, kata Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Pauzi Abd Latif.

Menurutnya, apa yang berlaku pada masa ini telah menyebabkan hilangnya sejarah peninggalan lama yang akhirnya menenggelami warisan Melayu.

“Saya hairan mengapa mesti rumah lama atau pusaka yang dibina dengan kayu ini hendak dirobohkan semata-mata mahu menggantikannya dengan rumah batu.

“Adalah lebih baik sekiranya rumah pusaka itu diperbaiki sahaja dan langkah itu lebih menjimatkan. Lagipun rumah lama ini lebih besar dan selesa,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Kongres Budaya 2017 di UPM di sini hari ini.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Negeri Sembilan, Muhammad Pauzi berkata, projek perumahan rakyat di negeri itu telah menyebabkan banyak rumah-rumah yang bercirikan Melayu asal di negeri berkenaan pupus setelah digantikan dengan ciri rumah baru.

“Syarat nak buat rumah ini kena ada tanah sendiri. Di kampung-kampung biasanya mereka akan jadikan tapak tanah yang terdirinya rumah pusaka untuk membangunkan rumah baru ini.

“Mereka sanggup hendak robohkan rumah pusaka itu semata-mata nak bagi laluan bina rumah rakyat ini. Rumah yang nilainyatak sampai RM50,000 hingga RM60,000 itu.

“Rumah ini banyak sejarah, sebab itu kita bawa perkara ini. kita nak jadikan ia sebagai resolusi supaya kerajaan tidaklah sewenang-wenangnya roboh rumah ini.

“Rumah melayu ini kalau kita tak jaga ia terus lenyap. Itulah identiti kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Muhammad Pauzi berkata perkara itu berlaku disebabkan adanya kelompongan-kelompongan terhadap resolusi yang pernah dicapai pada tahun 1971 berhubung Akta Warisan.

Tambah beliau, terdapat juga kandungan resolusi itu yang tidak diguna pakai serta tidak dipraktikkan lagi malah, ada juga yang sudah tidak lagi relevan.

Jelas beliau, menerusi kongres yang diadakan ia diharap dapat mencari jalan untuk menyelesaikan isu kelompongan yang berlaku dengan matlamat mahu mengekalkan warisan.

Katanya, menerusi kongres itu ia diharap akan mencapai satu resolusi baharu mencakupi pelbagai elemen yang membolehkan ia diadaptasi ke dalam Akta Warisan.

“Resolusi ini nanti akan dibawa oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim yang merupakan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia kepada Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Kita harap agar ia menjadi kenyataan dan warisan Melayu ini akan dapat dikekalkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast