IPOH – Polis Perak hari ini membidas pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan kisah anggotanya enggan membantu mangsa kemalangan dalam satu kejadian di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, SAC T. Selven berkata, berita yang tular itu adalah tidak benar sama sekali kerana anggota terbabit telah mengambil langkah tepat dalam membantu mangsa dengan
menghubungi pasukan paramedik.

Tindakan mengalih dan menghantar mangsa ke hospital menggunakan kereta peronda polis dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan mangsa, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian melibatkan seorang anggota polis yang dikatakan enggan menghantar mangsa kemalangan menggunakan kereta peronda sekalipun kejadian berlaku berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Mengulas lanjut, Selven berkata anggota berkenaan telah memainkan peranannya dengan baik termasuk mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan di lokasi kejadian yang boleh menyebabkan kelewatan ketibaan ambulans.

“Diharapkan masyarakat dapat membantu polis dalam menyangkal persepsi negatif serta memahami tugas-tugas polis dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast