KUALA LUMPUR – Walaupun debat yang sepatutnya berlangsung di Padang Rengas dibatalkan, kedua-dua pemimpin Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad masih dapat duduk semeja selepas bertemu di Kuala Kangsar petang ini.
Terdahulu, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas menunggu Dr Mahathir di depan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar kerana mahu menyambut Dr Mahathir sekitar jam 1 tengahari bagaimanapun tidak kelihatan penaung Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.
Namun kemudiaannya Nazri mendapat tahu Dr Mahathir akan hadir ke Lembah Sungai Perak bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anak lelakinya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk satu program kecil parti itu jam 4.30 petang.
Nazri bergegas ke Lembah Sungai Perak untuk bertemu dengan Dr Mahathir.
Orang ramai juga berkongsi gambar dengan Nazri yang duduk semeja bersama Dr Mahathir dan Dr Hasmah menjamu hidangan yang disediakan.
Bagaimanapun tidak kelihatan kedua-dua pemimpin berbual, cuma Nazri banyak berbual dengan seorang pemimpin tertinggi PPBM yang turut hadir ke majlis menemani Dr Mahathir.
Debat antara Mahathir dan Nazri sebelum ini menjadi topik utama media tempatan selepas berlaku cabar-mencabar anatra kedua veteran politik itu.
Debat yang sepatutnya berlangsung pada 25 Mac depan di Padang Rengas terpaksa ditunda pada 7 April ini. – MalaysiaGazette