Khairuddin Othman
Khairuddin Othman

KUALA LUMPUR – Pas Selangor mengambil langkah berkecuali apabila tidak mahu masuk campur berhubung sindiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa ditujukan kepada seorang pemimpin tertinggi parti itu.

Setiausaha Pas Selangor, Khairuddin Othman berkata, perkara berkenaan tidak perlu diperbesarkan memandangkan Azmin sendiri tidak menamakan individu itu di sebalik panggilan ‘tok lebai’ pada status Twitternya itu.

“Saya tidak mahu mengulas, melainkan MB sebut terang-terangan barulah kita boleh beri respon. Jika tweet begitu, kita tidak tahu beliau rujuk pada siapa,” katanya kepada sebuah laman portal.

Khairuddin mendakwa, kedudukan Pas di Selangor, termasuk tiga exco dan wakil rakyatnya masih stabil meskipun terdapat ura-ura menyatakan tweet itu ditujukan Azmin terhadap Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz.

“Kita di Selangor masih terkawal, cuma orang luar yang tak boleh kawal diri,” kata ADUN Paya Jaras itu.

Bagaimanapun Khairuddin tidak mengulas lanjut berkenaan orang luar yang tidak pandai mengawal diri.

Sebelum ini, Setiauasha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Borhan Aman Shah dalam satu kenyataan ‘menuduh’ tiga pimpinan parti tersebut iaitu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Pemuda, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dan ahli jawatankuasa, Dr Zuhdi Marzuki yang memulakan percetusan itu.

Beberapa hari lalu, Azmin melalui media sosial mengeluarkan kenyataan mempersendakan kekuatan seorang ‘tok lebai’ selepas dikatakan bercita-cita mahu mentadbir Selangor, meskipun individu terbabit ‘kalah tersungkur’ di kawasan sendiri.

Tweet itu didakwa ditujukan kepada Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang kalah dalam pemilihan Pas kawasan Pengkalan Chepa, tetapi bercita-cita menawan Selangor dalam PRU-14.

Tweet Azmin itu mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan ahli-ahli parti Islam berkenaan terutama akar umbi di Selangor.

Pemuda Subang dan Muslimat Pas Selangor menyelar Azmin dengan mengumpamakan beliau sebagai kacang lupakan kulit serta berfikiran cetek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast