Mahdzir Khalid.

PUTRAJAYA – Kerajaan Jepun hari ini dilaporkan menyumbang kira-kira RM304,000 kepada Kementerian Pendidikan dalam misi untuk meningkatkan penguasaan bahasa Jepun dalam kalangan guru-guru di negara ini.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Mahdzir Khalid, sumbangan itu diberikan oleh kerajaan Jepun bagi meningkatkan fasiliti dan kemampuan guru-guru dalam penguasaan bahasa Jepun.

“Salah satu perkara yang telah dibincangkan adalah bagaimana nak pertingkatkan bahasa Jepun malah delegasi Jepun juga telah memberikan sumbangan sebanyak USD69,000 (RM304,635) untuk tujuan proses pembelajaran di Institut Perguruan Kampus Bahasa Antarabangsa.

“Jadi, kita akan gunakan peruntukan itu untuk meningkatkan fasaliti kegunaan dalam pembelajaran bahasa Jepun,” katanya kepada media hari ini.

Mahdzir berkata demikian setelah menerima kunjungan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa.

Pertemuan empat mata itu dibuat bagi mencari langkah terbaharu dalam pelaksanaan kementerian dalam meningkatkan pembelajaran bahawa Jepun dikalangan guru-guru di negara ini.

Sumbangan kewangan tidak dikembalikan itu bagi menyokong pelaksanaan projek pengajian tinggi dan kebudayaan oleh organisasi tidak berasaskan keuntungan.

Mahdzir berkata, sumbangan itu akan disalurkan ke Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa yang merupakan satu-satunya institut yang melaksanakan program Pendidikan Guru Bahasa Jepun.

“Guru-guru terlibat akan dikenalpasti mengikut keperluan di sekolah,” kata Mahdzir lagi. -MalaysiaGazette.