KUALA LUMPUR – Petronas Dagangan Bhd (PetDag) akan memantau maklum balas pasaran terhadap mekanisme baharu harga siling bahan api sebelum mendapatkan kebenaran daripada kerajaan untuk menawarkan harga diskaun.
Mekanisme baharu itu di mana harga bahan api akan diumumkan secara mingguan berbanding bulanan sebelum ini akan dimulakan esok.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PetDag, Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menggesa pengusaha stesen minyak untuk mendapatkan kebenaran kementerian itu sebelum menawarkan harga lebih rendah.
“Kemungkinan ada untuk setiap peniaga untuk mendapatkan kelulusan daripada kementerian.
“Tetapi kita belum membuat keputusan mengenai apa-apa lagi kerana ia masih di peringkat awal,” katanya kepada pemberita di luar acara majlis menandatangani Petronas Kad Mesra Grab, program kesetiaan eksklusif antara PetDag dan Grab Malaysia Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Kementerian itu sebelum ini berkata, harga petrol dan diesel mingguan ditetapkan oleh Kerajaan itu akan diumumkan pada setiap hari Rabu dan harga akan berkuat kuasa selepas tengah malam (Khamis)..
Mohd. Ibrahimnuddin berkata, PetDag menyokong penuh mekanisme baharu itu.
“Apabila harga adalah tetap pada setiap minggu, ia akan menjadi lebih mencerminkan pasaran semasa. Mudah-mudahan, harga tidak akan berubah-ubah dengan banyak dari minggu ke minggu,” katanya. – MalaysiaGazette