KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan berketurunan Cina dikenalpasti individu yang cuba menawarkan sogokan sebanyak RM2 juta kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Ismail.

Sebuah laman portal melaporkan, lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikatakan sudah memiliki gelaran dan menawarkan sogokan itu untuk sekumpulan ahli perniagaan lain sebagai cadangan untuk menyenaraikan nama mereka bagi mendapatkan gelaran ‘Tan Sri’.

Bagaimanapun, laporan yang memetik sumber sebagai berkata, tidak dapat dipastikan jumlah ahli perniagaan yang terbabit untuk melobi bagi mendapatkan gelaran Tan Sri itu.

“Sudah pasti semua mereka sudah mempunyai gelaran tertentu sebelum ini. Siasatan masih dijalankan,” kata sumber berkenaan.

Kes itu mendapat perhatian selepas Sultan Ibrahim kelmarin mendedahkan ada individu menawarkannya ganjaran sebanyak RM2 juta untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran Tan Sri yang akan dikurniakan Yang Di-Pertuan Agong.

Bagi membantu siasatan, baginda berkenan berjumpa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan pegawai kanan SPRM berhubung maklumat individu yang cuba merasuah baginda bagi mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Tan Sri itu.

Dalam satu kenyataan SPRM berkata, SPRM sudah memperoleh maklumat berkaitan dan baginda sudah mengenal pasti individu terbabit.

Katanya, SPRM akan memastikan siasatan telus dijalankan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang.

“SPRM menyanjung tinggi sokongan penuh baginda terhadap SPRM serta komitmen berterusan dalam memerangi, menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di negara ini khususnya di Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast