Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ramai yang keliru bahkan sewenangnya membuat andaian dan kesimpulan seolah-olah RUU 355 ditolak kerajaan apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan tidak membentangkannya di Dewan Rakyat.

RUU 355, sebaliknya kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang dibawa Pas.

“Sebelum terus berpolemik dan menanggung dosa kering memfitnah, moleklah bertabayyun dan memahami beberapa fakta,” kata Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen bermakna versi RUU355 yang dicadangkan Pas akan terbuka kepada perbahasan dalam Dewan Rakyat kelak.

“Apabila dibahaskan terserah kepada proses demokrasi berparlimen untuk membincangkan secara tuntas pro dan kontra setiap aspek dalam pindaan yang dicadangkan.

“Jika ditakdirkan RUU355 ini diterima kelak selepas dibahaskan dengan majoriti mudah (hanya memerlukan kelebihan satu undi ahli dewan berasaskan kehadiran Ahli Parlimen waktu pengundian), maka RUU ini akan berpindah menjadi RUU kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional malam semalam yang memutuskan tidak ada wakil kerajaan akan membentangkan RUU355 selepas mendapat persetujuan konsensus bersama seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Maknanya, Asyraf Wajdi berkata, apabila RUU355 sudah menjadi RUU kerajaan maka prosesnya ialah kerajaan berhak meneliti kembali aspek-aspek di dalam cadangan awal pindaan yang dibuat Pas samaada untuk meminda bagi tujuan menambah baik atau kekal sebagaimana versi RUU persendirian.

“Setelah Kerajaan meminda dan menambah baik RUU355 ini, maka notis akan diserahkan kembali kepada Parlimen sebagai Bacaan Kali Kedua RUU 355 untuk dibahaskan kali kedua.

“Jika diluluskan barulah akan menjadi Bacaan kali ketiga dan dibawa ke peringkat Dewan Negara pula untuk dibahaskan,” katanya lagi.

Justeru tidak timbul Kerajaan menolak Akta 355 ini kerana akta ini adalah milik kerajaan, katanya.

Cuma yang membezakan adalah dicadangkan untuk dipinda oleh Pas sebagai rang undang-undang persendirian.

“Sebagai kerajaan yang bertanggung jawab kepada seluruh rakyat yang berbilang agama, perlu mengambil kira semua faktor termasuk aspek yang menjadi polemik dan kekeliruan di kalangan rakyat terhadap cadangan pindaan RUU355 versi Pas.

“Kerajaan tetap istiqomah dalam usaha memartabatkan institusi mahkamah syariah sejak Akta 355 diperkenalkan kerajaan pada tahun 1965 sebelum dipinda buat kali pertama pada 1984 dan kali kedua 1989,” ujarnya.

Sejak 2007, kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa mengkaji pindaan terhadap Akta 355 tetapi mungkin berbeza daripada versi yang dicadangkan Pas.

“Secara peribadi saya tidak melihat adanya masalah jika RUU355 kekal sebagai usul persendirian yang akan dibentangkan Pas kerana jika dibahaskan dan dipersetujui kelak, kerajaan juga yang akan membentangkannya semula ke Parlimen dengan pindaan baru mengikut versi kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast