Home Ekonomi Malaysia tidak ambil kesempatan perdagangan AS

Malaysia tidak ambil kesempatan perdagangan AS

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak pernah mengambil kesempatan ke atas Amerika Syarikat dalam perdagangan dua hala.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, sebahagian besar eksport Malaysia ke Amerika Syarikat adalah peralatan elektronik yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat negara itu.

Sebaliknya, Ka Chuan mendakwa Presiden Amerika Syarikat tidak tahu terdapat pengilang-pengilang dari negara itu yang besar di Malaysia seperti Intel dan Western Digital.

Menurutnya, syarikat-syarikat besar itu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka kerana kos pengeluaran yang murah.

“Trump tidak tahu barangan elektronik yang mereka buat di sini dibawa balik ke sana (Amerika) sebagai produk separuh siap untuk komputer, telefon bimbit sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Presiden Amerika Syarikat tu yang menyenaraikan Malaysia antara negara yang menyebabkan kuasa ekonomi dunia itu mengalami defisit perdagangan.

Selain Malaysia, negara lain yang disenaraikan ialah China, Jepun, Ireland, Vietnam, Itali, Korea Utara, Jerman, Thailand, India, Perancis, Indonesia, Kanada dan Switzerland.

Ka Chuan menambah, bagi prestasi perdagangan Februari, sebanyak 53 peratus eksport ke Amerika Syarikat adalah produk elektronik dari kilang-kilang negara tersebut. – MalaysiaGazette