Norza Zakaria

PETALING JAYA – Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria akan menawarkan diri sekiranya jawatan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dipertandingkan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM).

Bagaimanapun Timbalan Presiden BAM itu mengharapkan agar jawatan yang mengikut tradisinya tidak pernah dipertandingkan itu akan dilakukan mengikut amalan yang sihat jika ada pertandingan.

“Saya dah cakap yang saya akan menawarkan diri sebagai Presiden BAM. Saya berharap tradisi masa pertandingan itu akan berlangsung dengan baik.

“Kita tidak mahu adanya berpuak-puak dalam pertandingan yang akhirnya akan membawa kepada persengketaan.

“Sukan badminton adalah harapan dan inspirasi rakyat terutamanya apabila kita berhadapan dengan sukan Olimpik 2020,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Penajaan Jersi Jenama Brand 57 dan Penyampaian Anugerah Emas Khas Brand 57 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Norza turut berharap agar urusan itu (pertandingan) dapat diselesaikan secepat mungkin serta tidak mahu ia berlarutan kerana mahu menumpukan kepada kejohanan besar bagi sukan itu.

Sebelum ini timbul ura-ura yang mengatakan akan berlaku peralihan pucuk pimpinan dalam BAM.

Ia berlaku selepas dua pemimpin tertinggi BAM, Tan Sri Al Amin Abd Majid dan Mohamad Norza dikatakan berkira-kira untuk berebut jawatan itu.

Pengisian jawatan itu perlu dilakukan berikutan Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast