Ahmad
Bukan tidak sayang tapi hati berbelah bahagi. Semua ini bagai mimpi. Antara budi antara balasan. Antara cinta antara sayang. Antara ya antara bukan. Betapa jauh kaki melangkah. Berapa lama fikiran bercanggah. Banyak mana detik bersama. Banyak mana igauan menjelma. Aku mahu selamanya. Semuanya. Tapi aku manusia yang biasa. Tiada yang istimewa.

Lalu aku teruskan langkah. Meniti titi yang kukuhnya tiada pasti. Menyusur masa meninggalkan pengalaman. Harapanku ia abadi dalam kenangan. Tidak luput ditelan zaman. Biar hujan tak basah. Biar panas tak lekang. Biar rendam tak masam. Walang tak muram.

Aku sedar, menilai biar tenang; hati budi perlu diselam, agar tidak terus tenggelam. Aku juga sedar, detik hanya ruang. Kiranya dia hilang, bukan bererti tiada. Sering juga aku gusar, kalau-kalau tersasar. Gelisah bilaku resah. Takut kalau-kalau dia pergi, terus berlari. Takut kalau kasih sayang makin kabur, harapan kelak hancur. Banyak persoalan belum terungkai. Siapa membelai, siapa dibelai. Dalam diam aku melagukan pantun lama, mengingatkan diri agar tidak terus lena. Bak pantun Melayu, anak kumbang terbang merayap, jatuh tercungap di dalam tangki, hendak terbang tiada bersayap, hendak hinggap tiada berkaki.

Idris

Semalam aku ke tasik itu. Suatu ketika ia begitu masyhur, buainya tidak berhenti berayun, pengunjungnya berduyun. Suatu ketika orang berkayak di situ, berpesta, bersuka-suka dengan keluarga, dengan yang tercinta. Kini ia tidak segah dulu, tidak semeriah dulu. Kiranya tasik itu punya perasaan sepertiku, pasti ia sepi. Terus menanti hari meniti. Kiranya tasik itu punya kata-kata, pasti tiada terucap apa-apa. Terus akur bersama pijar-pijar alpa. Kiranya tasik itu punya ingatan, apakah mungkin ia lupakan segala kenangan?

Seboleh mungkin aku tidak mahu terperangkap dalam situasi begitu, yang memestikan aku memberikan jawapan yang kelabu. Merana badan memikul beban. Menanggung segala sendirian. Baiknya ada kenangan. Mungkin boleh mengubat hati yang rawan bila keseorangan.

Detak hati mahu ke sini lagi. Tapi di sini bukan seperti di sana. Di Kuala airnya bukan air tasik yang kaku. Airnya mengalir sepanjang muara Sungai Kangsar lalu bertemu Sungai Perak. Rindunya akan gulai tempoyak ikan sungai, laksa, apam dan putu beras di Lembah. Taksubnya akan indah Istana Kuning dan Istana Iskandariah di Bukit Chandan. Dan Istana Ubudiah kekal dalam fikiran.

Sepanjang berjalan di bibir tasik, aku melihat sekeliling, gelap tapi tak kelam, sunyi tapi tak suram, begitu tenang, rasa dan raga terus diselam. Dan kakiku terus memijak rerumput dingin. Basah, mungkin hujan turun siangnya. Subur rerumput itu. Dan aku terus berjalan, sambil berharap agar rumput itu kan terus subur sebegitu walaupun mungkin dipijak, sambil kepalaku mendongak ke langit membilang bintang.

Mohd Shah

Kalau berhari, kan terasa bagaikan berminggu. Biasalah begitu kalau merindu. Hati terus menanti. Kalbu terus menunggu.

Alam dan sekitar bercerita. Membisik kata setia. Akulah itu yang setia. Walau telah lama berjauhan, kenangan masih tiada dapat dibuang. Angin bertanya pula, apakah aku ini aneh. Lalu angin bertanya kembali, apakah ada yang bernama aneh dalam hidup. Pelik, jawabku kemudian. Juga tiada, balasnya pula.

Mengapa begitu bicaranya? Mungkin angin itu sama seperti ragaku. Menyayangi. Merindui. Mengasihi.

Kepastiannya? Bukankah tiada yang pasti dalam hidup?

Benar juga. Sampai bila mahu terus berharap? Sampai mana mahu terus lena? Pasti sampai saatnya juga mata hati harus dibuka. Apakah sayang perlu dibiar melayang? Kasih dibiar pedih?

Ahh… biar terus berteka. Bukankah itu namanya kehidupan? Bukankah kesamaran itu lumrah perjalanan? Dan bukankah perjalanan itu ada akhiran?

Sulaiman

Mengapa harus jadi begini? Segala kebaikan bagai dilupakan, lalu zahirlah bermacam kesilapan, yang bagai diciptakan demi memuaskan sedetik perasaan yang mungkin terbit di luar kawalan fikiran.

Aku menyayanginya. Sememangnya aku menyayanginya. Ada harapan kecil di dalam hatiku agar ia mengerti akan kasih sayangku. Tapi aku hanya boleh berharap, aku tidak boleh menjangka. Kuala tetap di situ. Bukan ia yang pergi. Aku yang lari. Demi mencari diri. Demi peribadi.

Dulu aku tidak begitu, apakah yang mungkin merasuk mindaku? Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa; tetapi naluriku begitu kuat berbicara. Bukankah selama ini hanya ia bersamaku? Tanpa kehadiran orang ketiga? Aku menyayanginya. Daun-daun hijau di pohon-pohon besar yang malar. Udaranya yang segar.

Tetapi naluriku bagai menolak-nolak dan menidak-nidak. Perlukah dibiarkan naluri bersuara: “Jangan fikir yang aku menghalang. Bukan juga mengongkong. Kuala tidak pernah berbohong. Jangan biarkannya jadi penghalangmu dalam meniti keremajaan.”

Lama ia tiada, berbicaralah diri seorangan. Akan terus ku berpesan pada diri sendiri – Jika hati sejernih air, jangan biarkan ia keruh. Jika hati seputih awan, jangan biarkan ia mendung. Jika hati selembut salju, jangan biarkan ia jadi batu. Moga ia tahu…

Ahmad, Idris, Mohd Shah, Sulaiman

Setiap tutur penghuninya terus kedengaran di telinga kami. Malah, baunya juga terus melekat dalam saraf kami. Setiap nafasnya bagai mendengus di muka. Tidak pasti apa perasaan sebenarnya. Apakah itu bermaksud bebanan tanggungjawab meringan lantaran kami hanya kawan? Atau apakah kami rawan lantaran tautan kasih mungkin akan berkurang?

Malas rasanya kami terus bertanya kepada diri. Alangkah bagusnya jikalau kami dapat membaca isi pekan Kuala. Hairan mengapa perlu berada di dalam situasi sebegini. Apakah ada tiupan sangkakala yang menguasai? Apakah istimewanya Kuala? Peduli apa lagi. Yang pasti, kami senang selama di sana.

Sebegitu lama kami tiada mengunjunginya. Semuanya angkara perpisahan tanpa diundang, yang tidak pernah sebenarnya suatu perpisahan abadi. Semuanya kerana masanya sudah di penghujung. Hanya lima tahun itu syaratnya. Lima tahun sahaja kami bersama. Lima tahun sahaja berpijak di tanah Kuala, menghirup udaranya.

Lalu hari bertukar minggu. Minggu berganti bulan. Bulan bersilih tahun. Selama itulah kami mula melupai, sambil mengagumi orang-orang lama, yang menciptakan pepatah “asal kapas jadi benang, dari benang dibuat kain, barang lepas jangan dikenang, sudah menjadi orang lain”.

Sebegitu lama itulah juga kami lupa untuk mengingati orang-orang yang kami sayangi, bangunan yang kami sanjungi, pekan yang kami kagumi. Selama itulah juga kami menyalahkan masa yang pergi.

Maka itulah suatu ikatan kami kembali jalinkan. Nekad kini untuk tidak mahu lagi lemas dalam kekeliruan, tenggelam dalam keresahan. Tidak rela lagi kesedihan membaluti fikiran. Salah apakah untuk merindui, aneh apakah untuk bermimpikan tanah Kuala yang menjadi gelanggang kedewasaan dan kematangan?

Lalu kami memutuskan untuk melewati semula perhubungan yang dibina daripada kasih sayang. Perhubungan yang sekian lama dipupuk dengan luhur tanpa noda. Kami bukan orangnya yang memilih untuk menagih. “Rasa kasih ini datang dengan rela, tanpa paksa, tanpa meminta”.

Air yang mengalir akan terus mengalir. Biarlah kami menjadi tebing yang menjaga air itu daripada melimpah. Biar tanah Kuala terus subur dengan cinta dan kasih sayang yang tiada pernah terkubur.

Kuala Kangsar, kami kembali.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast