Sarlinawati Abdul Mues

ISKANDAR PUTERI – Seorang pejuang kanser payudara tahap empat, bakal mengembara secara solo ke 22 buah negara dengan menunggang motosikal dalam usaha untuk mengumpul dana bantuan perubatan pesakit kanser.

Sarlinawati Abdul Mues, 48, berkata, usaha berkenaan dilakukan dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Jelasnya, kembara menggunakan motosikal skuter WM ES250i itu akan bermula dari Kuala Lumpur pada April tahun depan dan dijangka berakhir di Arab Saudi pada Ogos.

”Dalam kembara ini, jika berpeluang saya juga akan melawat ibu pejabat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di Geneva serta pusat-pusat kanser di negara yang bakal dilawati.

”Sasaran saya hendak kumpul sebanyak mana dana yang boleh bagi membantu pesakit kanser yang memerlukan bantuan untuk menjalani rawatan, di mana sumbangan boleh disalurkan menerusi NCSM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pusat Sokongan Kanser NCSM di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong serta Pengarah Urusan NCSM Prof Madya Dr M Murallitharan.

Sarlinawati yang disahkan menghidap kanser payudara tahap empat pada 2021 telah melakukan kembara motosikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi mengumpul dana untuk Projek Bra Prostesis dan Mastektomi anjuran Cancer Survivor Malaysia (CSM) tahun lepas.

Justeru, beliau berharap agar usahanya itu untuk mengembara ke 22 negara dapat meringankan beban pesakit kanser di negara ini.

”Saya lihat dengan hobi bawa motosikal dan pengalaman kembara solo pertama tahun lepas selama hampir 22 hari telah memberi banyak inspirasi.

”Apabila saya menunggang, ia diibaratkan seolah-olah kita meneruskan kehidupan seperti pesakit kanser yang perlu meneruskan kehidupan walau apa keadaan sekali pun, begitu juga apabila saya bawa motosikal dan mulakan kembara yang mana apa sahaja halangan di depan, saya kena teruskannya” katanya.

Mengenai Pusat Sokongan Kanser, Murallitharan berkata, pusat tersebut yang terletak di Taman Nusantara Prima adalah yang pertama dibina di Johor dan dijangka beroperasi pada Mac tahun depan.

Beliau berkata, pusat tersebut antaranya menawarkan perkhidmatan saringan dan pengesanan awal kanser serta turut menempatkan pakar-pakar termasuk bidang psikologi, diet, kaunseling serta pembimbing rakan sebaya.

”Selain Pusat Sokongan Kanser, kita juga akan menyediakan klinik bergerak yang menawarkan saringan kanser secara percuma kepada orang ramai di negeri ini,” katanya.- MalaysiaGazette

Caption gambar:

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast