Sulaiman Abd. Razak

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abd. Razak mencabar wakil rakyat PKR mengemukakan bukti UMNO melepaskan sebahagian daripada wang khairat kematian ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir Selangor sebelum ini.

Menurutnya, Haniza Mohamed Talha (PKR-Taman Medan) tidak seharusnya membuat tuduhan melulu tanpa mengemukakan bukti bagi menguatkan tuduhan itu.

Tambahan pula, kata Sulaiman, ketika BN mengurus khairat kematian, penyelia kawasan yang menyerahkan wang sumbangan dari kerajaan negeri sebanyak RM1,000 kepada pewaris atau ahli keluarga si mati.

Kerajaan BN ketika itu, ujar beliau, tidak pernah menyeleweng atau menyalahgunakan sumbangan berkenaan, tidak sebagaimana berlaku dalam Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menerusi Skim Warga Usia Emas (SWUE).

“Melalui SWUE, sumbangan untuk khairat kematian sebanyak RM2,500, tetapi diberi RM1,000. Bakinya RM1,500 lagi diberitahu akan diuruskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Tetapi ada pewaris menunggu begitu lama untuk mendapatkan baki (RM1,500) yang dikatakan akan diserahkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah.

“Perkara ini tidak akan berlaku dalam UMNO dan BN. Kenapa pewaris atau ahli keluarga perlu menunggu begitu lama baki khairat kematian, sedangkan ia boleh diberikan secara sekali gus,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Haniza sebelum itu, ketika bangun mencelah sesi penggulungan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Daroyah Alwi berkenaan Skim Peduli Sihat.

Dalam hujahnya itu, ADUN PKR berkenaan mendakwa, ketika BN mentadbir Selangor, sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,000 tidak diserahkan sepenuhnya, sebaliknya pewaris menerima RM500 sahaja.

Dakwa beliau, baki RM500 lagi dikatakan masuk ke poket pihak yang diberi tanggungjawab untuk menyerahkan wang khairat kematian kepada keluarga si mati.

Ketika itu juga Sulaiman bangun mencelah dengan menuduh Haniza sengaja hendak memburuk-burukkan UMNO dan BN. – MalaysiaGazette