Tunku Mahkota Ismail melakukan pemeriksaan barisan sebelum merasmikan persidangan DUN ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri  hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Johor tidak boleh berpuas hati dengan sistem pendidikan yang statik dan ketinggalan zaman.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, pendidikan yang berkualiti amat penting untuk rakyat di negeri itu sekaligus akan menjadikan mereka berdaya saing di peringkat domestik dan global.

Pada masa sama, baginda gembira apabila cadangan mewujudkan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) berjaya direalisasikan.

“Saya berharap SRBJ bakal menjadi model kepada pendekatan pendidikan negeri yang lebih inklusif dan progresif,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian semasa merasmikan pembukaan penggal persidangan DUN yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Inisiatif SRBJ bermula pada tahun ini membabitkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, SMK Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kejayaan pelajar SRBJ bukan bergantung kepada murid, guru, kementerian dan negeri semata-mata, tetapi juga bergantung peranan ibu bapa.

“Kalau sekolah rintis ini berjaya, Insya-Allah kita boleh buat lagi untuk banyak sekolah. Terdapat lebih 1,100 sekolah di Johor yang boleh dilihat,” titah baginda.

Baginda berharap kerajaan Persekutuan akan bersama-sama menyertai inisiatif Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, seramai 90 guru telah dihantar untuk mengikuti kursus di institusi pendidikan negara di Singapura bagi memperkasakan kemahiran dan model pengajaran serta pembelajaran tenaga pengajar.

“Kita juga tidak boleh berpuas hati dengan sistem pendidikan yang statik yang ketinggalan zaman. Saya berharap kerajaan persekutuan juga bersama-sama menyertai inisiatif Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi,” titahnya.

Selain pendidikan berkualiti tinggi, baginda bertitah, institusi kekeluargaan adalah sangat penting dalam membentuk nilai dan jati diri anak-anak bangsa Johor sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan dan masyarakat.

Titahnya, Bangsa Johor mesti kekal teguh dengan identiti yang unik progresif dan berdaya saing namun tidak pernah melupakan akar budaya dan nilai tradisi negeri ini.

“Saya ingin melihat bangsa Johor yang tinggi , sahsiah diri patriotisme dan setia kepada negeri ini.

“Oleh itu, saya menyeru agar Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri dapat merangka pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan lagi nilai dan jati diri bangsa Johor merentasi semua peringkat umur,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast