KUALA LUMPUR – Meskipun namanya tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan sayap Srikandi Malaysia (Srikandi) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) namun Anina Saaduddin tidak kecewa dengan keputusan itu.
Malah dia masih mampu memberikan kata-kata positif terhadap parti yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi posting terbarunya di Facebook, bekas ahli Wanita UMNO Bahagian Langkawi itu memuat naik status mengucapkan tahniah di atas pelantikan Ketua Srikandi PPBM, Rina Mohd. Harun.
“Tahniah atas pelantikan Ketua Srikandi PPBM yang baru, Rina Harun. Semoga sayap Srikandi akan terbang tinggi,” tulisnya.
Dalam satu sidang media hari ini, Muhyiddin mengumumkan bekas Ketua Puteri UMNO Bahagian Sepang, Rina Mohd Harun dilantik secara rasmi untuk mengetuai sayap Srikandi PPBM.
Pengumuman tersebut telah melenyapkan teka-teki tentang siapa yang menerajui sayap srikandi parti yang bermatlamat mahu mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak.
Pada Disember tahun lepas nama Anina mendapat perhatian media sosial kerana dikatakan terlibat dalam skandal seks dengan seorang lelaki, dipercayai pembantunya.
Serentak itu, beliau dikaitkan dengan PPBM yang ketika baru ditubuhkan dan secara tidak langsung telah mencemarkan nama parti. – MalaysiaGazette
Nama Anina tiada dalam senarai Srikandi PPBM