Khairuddin Abu Hassan
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Generasi Baru, Datuk Khairuddin Abu Hassan meminta Pakatan Harapan (PH) melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat bersama dalam gabungan pembangkang itu.

Menurutnya, walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baharu setahun jagung menyertai PH namun melantik Mahathir perlu kerana ramai simpati dengan bebanan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya amat simpati dengan bebanan kerja Wan Azizah yang sekian lama berjuang menerajui barisan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, kedua-dua pemimpin itu perlu diberikan ruang untuk menumpukan kepada perancangan strategik PH dalam usaha untuk memenangi pilihan raya umum nanti.

“Kita harus memberi banyak ruang kepada Mahathir dan Wan Azizah untuk tumpu pada perancangan strategik kerja-kerja PH,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khairuddin memberitahu, langkah itu amat penting kerana semua parti-parti politik pembangkang akan bertanding di bawah PH secara satu lawan satu dengan menggunakan satu logo pada PRU-14 kelak.

“Minda dan tenaga harus diberikan secara lebih kepada PH agar menjaminkan kejayaan cemerlang barisan pembangkang pada PRU-14 yang akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette