Najip Ali salah seorang artis terlibat dalam rancangan Ok Chope di Singapura.

KUALA LUMPUR – Syarikat media, Mediacorp Pte Ltd (Mediacorp) hari ini memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan penyiaran episod OK Chope! yang menyinggung perasaan Perdana Menteri baru-baru ini.

Ketua Pegawai Pelanggannya, Debra Soon berkata, episod pada minggu lalu yang menyentuh Perdana Menteri Malaysia itu adalah menjengkelkan dan menyinggung perasaan.

Menurutnya, pihaknya tidak akan menyiarkan siaran ulangan episod tersebut.

“Channel 5 dan pasukan produksi di belakang OK Chope! dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak untuk segmen episod minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam rancangan itu, panel undangan diminta melengkapkan ayat: “Najib slams … for threatening Malaysia’s progress”.

Para panel jemputan, termasuk Najip Ali dilihat memberikan jawapan yang menghina dan mempersendakan Perdana Menteri sehingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak di Malaysia.

OK Chope! yang menampilkan pelawak dengan memaparkan isu semasa disiarkan secara langsung seminggu sekali.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama Najip Ali berkata, beliau sedar betapa tidak sensitif beliau ketika itu setelah mengkaji semula komen yang dilakukannya dalam segmen komedi Channel 5 itu.

“Saya ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya memohon kemaafan daripada penonton dan rakan-rakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast