KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah mengajak rakyat membuat penilaian terhadap Ahli Parlimen pembangkang yang beragama Islam berhubung pembentangan usul Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Dewan Rakyat Khamis lalu.
Ketuanya, Datuk Razlan Rafii berkata, ketika semua pihak bersetuju dengan pindaan itu, ahli parlimen beragama Islam dari Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR membantahnya.
“Saya pelik kenapa Ahli Parlimen ini bantah? Pindaan RUU 355 adalah untuk memperkasakan hukuman supaya umat Islam terutama anak-anak muda tidak terjebak dalam gejala sosial yang membimbangkan kebelakangan ini.
“Kalau DAP atau Ahli Parlimen bukan Islam yang membantahnya, ia logik kerana mereka tidak faham dengan hukum Islam, lebih lagi DAP, yang sentiasa tidak berpuas hati dengan pencapaian agama kita.
“Ini yang yang beragama Islam dari Pakatan Harapan (PH) yang kuat membantah. Ini yang saya pelik. Saya minta rakyat di luar sana nilailah pemimpin ini,” katanya kepada pemberita selepas program Kem Bakat Sukan Kawasan Lembah Pantai di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, hari ini.
Beliau mewakili Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainak Abidin.
Menurut Razlan, Pemuda menyifatkan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sesi sidang itu pada jam 5 petang Khamis lalu sebagai tepat.
Ini kerana, katanya, jika Dewan Rakyat memberi peluang kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul pindaan persendirian itu, ia telah diganggu oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang selama kira-kira 45 minit.
“Kalau Kit Siang dan Ahli Parlimen lain dari PH tidak mengganggu, nescaya pembentangan itu dapat dibahas dan diselesaikan pada hari itu juga.
“Tetapi, Dewan sengaja dikecohkan oleh golongan pembangkang, terutama dari dua atau tiga Ahli Parlimen beragama Islam. Ini amat menyedihkan,” katanya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya rakyat kembali kepada parti yang benar-benar memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air iaitu UMNO. – MalaysiaGazette