Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Muhamad Rafi (tengah) beramah mesra dengan sebahagian wakil-wakil kelab sukan kawasan Lembah Pantai yang menerima sumbangan barangan sukan pada majlis penutup Kem Bakat Sukan Kawasan Lembah Pantai. foto SAFWAN MANSOR, 08 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 kelab belia dan sukan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diberikan sumbangan untuk menyelenggara dan peralatan sukan termasuk bantuan kewangan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii berkata, jumlah itu melibatkan kawasan Wangsa Maju 16 kelab, Lembah Pantai (18 kelab) dan Titiwangsa (enam kelab).

Kata beliau, sebanyak 10 kawasan ada dalam Wilayah Persekutuan dan bakinya akan diagihkan secara berperingkat.

“Kita mahu mendekati anak muda ini dan mendengar masalah mereka. Ada yang perlukan gelanggang futsal, gelanggang badminton, gelanggang bola jarring. Kita dengar dan akan usahakan.

“Pemuda Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) sentiasa turun padang bersama anak muda. Mereka adalh pelapis dan perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas program Kem Bakat Sukan Kawasan Lembah Pantai di PPR Kerinchi di sini, hari ini.

Kata Razlan, pihaknya diperuntukan kira-kira RM20,000 bagi menjayakan program sumbangan penyelenggaraan dan peralatan sukan kepada persatuan serta kelab belia dalam Wilayah Persekutuan.

Beliau turut mengingatkan anak muda dan belia agar menjaga setiap kemudahan sukan yang disediakan untuk mereka.

“Jaga gelanggang dengan baik dan hargai setiap kemudahan yang disediakan. Saya dapati banyak yang sudah rosak dan perlu diselenggara,” katanya. – MalaysiaGazette