Home Utama Malaysia ke-11 Indeks Kompetitif Pengangkutan WEF

Malaysia ke-11 Indeks Kompetitif Pengangkutan WEF

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melihat kawasan persekitaran luar semasa menaiki Mass Rapid Transit (MRT) pada Pelancaran MRT fasa satu laluan Sungai Buloh - Kajang di Stesen MRT Kwasa Damansara, Sungai Buloh. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada kedudukan ke-11 dalam kalangan 138 negara dalam Indeks Kompetitif untuk pengangkutan 2016-2017, Forum Ekonomi Dunia Global 2016-2017

Perdana Menteri berkata, ini merupakan satu lagi berita baik kepada semua rakyat Malaysia kerana ia adalah satu pengiktirafan kepada kualiti infrastruktur pengangkutan Malaysia.

Ia juga merupakan pengakuan usaha dan dasar mendahulukan rakyat Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui, kata Perdana Menteri menerusi blognya.

“Saya sentiasa menegaskan bahawa jaringan perhubungan untuk rakyat melalui kualiti dan pengangkutan berpatutan sangat dekat di hati saya.

“Dalam kedudukan itu, diakui para pengguna pengangkutan di Malaysia mendapat nilai terbaik untuk wang dalam perjalanan setiap hari – mengatasi Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina,” tambah beliau.

Najib berkata, hasil perancangan yang teliti dan berpandangan jauh, rakyat Malaysia mendapat faedah daripada penggunaan Aliran Transit Massa (MRT) menerusi kejayaan pelancaran fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang pada Disember lalu.

Dalam jangka sederhana jaringan perhubungan lebih luas dengan adanya MRT, Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) dan kereta api laju KL-Singapura.

Perdana Menteri menekankan walaupun kerajaan menyediakan infrastruktur berkelas dunia kepada rakyatnya, ia mesti juga insklusif dalam polisinya.

Beliau percaya tidak ada sesiapa yang akan ketinggalan, lantaran itu projek infrastruktur mega seperti Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, selain Laluan Rel Pantai Timur di Semenanjung turut dilaksanakan.

Katanya, projek-projek itu yang akan disiapkan pada jangka sederhana akan menjadi pencetus perubahan negara.

“Insya-Allah, sistem pengangkutan ini akan mengubah landskap sosio-ekonomi Malaysia dan cara rakyat kita hidup, bekerja, mengembara dan menjalankan perniagaa, Saya teruja dengan masa depan negara kita,” kata Najib. – MalaysiaGazette