Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media selepas selesai mengadakan lawatan kerja di Blok 6, Desa Mentari, Petaling Jaya. foto IQBAL BASRI, 10 APRIL 2017.

PETALING JAYA – “Rugi masa…,”. Itulah reaksi ringkas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata demikian ketika wartawan memintanya mengulas mengenai beberapa isu politik yang berkaitan dengan pembangkang terutama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355.

“Saya tak mahu layanlah isu berkaitan pembangkang. Buat rugi masa saja. Mereka semuanya hebat-hebat, biarlah mereka selesaikan,” katanya.

Terdahulu beliau bersama pegawai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kepimpinan UMNO Selangor mengadakan lawatan kerja di Blok 6, Desa Mentari di Jalan PSJ 6/6D di sini, hari ini.

Menurut Noh, daripada bercakap mengenai pembangkang, lebih baik beliau bersama jentera UMNO negeri menumpukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

“Kita sudah bersedia menghadapi pertandingan dua atau tiga penjuru pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

Mengenai cadangan Pakatan Harapan (PH) hendak mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan, beliau menjelaskan, perkara itu tidak ada dalam Undang-Undang Malaysia Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Kalau mereka hendak adakan juga, mereka melanggar undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette