KUALA LUMPUR – Jenama Putri Dewi mungkin tidak asing lagi dalam kalangan peminat tegar tudung.
Kebanyakan pegawai kerajaan terutama di sekitar Putrajaya, Bangi dan Kajang seolah-olah sudah biasa dengan jenama tudung itu.
Jenama tudung Putri Dewi sudah berada di pasaran sejak tahun 2012 lagi dan ini bermakna sehingga kini, Putri Dewi telah berdiri teguh di dalam arena perniagaan tudung tempatan.
Jenama Putri Dewi merupakan gabungan idea pengasasnya, Ika Putri Dewi, 34, dan suami, Muhd. Mudzakkir Md Musidek, 35.
Gabungan tenaga serta cetusan idea kedua insan istimewa ini membolehkan jenama Putri Dewi menjadi popular sehingga hari ini.
Mengimbau pengalaman lalu, Ika telah menimba pengalaman dalam bidang perniagaan tudung sejak awal tahun 2000.
Ketika itu, dia bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai menjual tudung di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Ika yang ketika itu masih lagi remaja mengorbankan keseronokan zaman remajanya dengan menumpukan sepenuh perhatian dalam selok belok dunia perniagaan tudung.
Boleh dikatakan segala pahit maung dalam menjalankan perniagaan tudung sudah dirasainya.
Apatah lagi waktu itu, dia turut mendapat galakan sepenuhnya dari majikan sendiri yang banyak menunjuk ajar dalam hal ehwal perniagaan tudung sehingga dia menjadi orang kepercayaan di kedai tersebut.
Setelah mendirikan rumah tangga, Ika menberanikan diri menjual tudung di pasar malam, pasar tani serta membuka gerai jualan di pejabat kerajaan terutamanya disekitar Putrajaya.
Ketika itu, pasangan ini masih lagi menjual tudung jenama syarikat lain. Boleh dikatakan kedua mereka bersinsing lengan siang dan malam demi untuk mengumpul modal bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Setelah modal berjaya dikumpul, mereka tidak berlengah lagi dan terus mengambil inisiatif untuk melahirkan himpunan tudung jenama mereka sendiri.
Selain modal, mereka juga berhasrat untuk menawarkan potongan tudung yang menarik serta berkualiti untuk pelanggan mereka.
Maka bertitik tolak dari sebab-sebab ini, lahirlah tudung Putri Dewi di pasaran. Himpunan Camelia adalah merupakan himpunan tudung pertama ciptaan mereka.
Tahun 2010 mencatatkan sejarah buat pasangan ini setelah tudung sarung segera hasilan tangan mereka ini berjaya mendapat tempat di hati pelanggan. Lebih 10,000 helai tudung Camelia itu habis terjual daalam masa 1 bulan.
Mereka mula mengorak langkah ke hadapan dengan membuka pula sebuah butik yang dinamakan Putri Dewi di Kajang Impian Bandar Baru Bangi.
Tahun 2013 menjadi titik keramat kehidupan mereka apabila butik Putri Dewi melambangkan semangat pasangan ini dalam dunia perniagaan.
Kini selain beroperasi sebagai pengeluar tudung Putri Dewi, pasangan ini melebarkan sayap dalam dunia perniagaan dengan menubuhkan kilang pembuatan tudung.
Kilang yang beroperasi di sekitar Lembah Klang itu kini beroperasi dengan 15 orang tenaga pekerja yang boleh menghasilkan 400 helai tudung sehari.
Mereka kini sedang menambah usaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tudung melebihi 1,000 helai sehari memandangkan semakin banyak pelanggan yang menempah tudung secara pukal dari kilang mereka.
Hari ini, Ika mahu berkongsi kejayaan apabila Putri Dewi mengalu-alukan mereka yang berminat menjadi ejen dengan modal serendah RM1,000.
Untuk maklumat lanjut mengenai tudung Putri Dewi, orang ramai boleh melayari FBads Putri Dewi; Instagram : putridewi.official; laman web: putridewi.com atau hubungi talian 012-350 8610 (Ika Putri Dewi) dan 014-258 5004 (butik). – MalaysiaGazette