KUALA LUMPUR – Bank Dunia mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini pada kadar 4.3 peratus apabila ia meramalkan tekanan fiskal kekal pada kewangan awam di sebalik pemulihan beransur-ansur pertumbuhan perdagangan global dan peningkatan harga komoditi.

Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik, Sudhir Shetty berkata, kadar pertumbuhan Malaysia perlahan dengan mendadak pada 2016 dan ini sudah dijangkakan apabila kerajaan memperkenalkan dasar fiskal bagi menyelaraskan harga komoditi yang lemah.

“Saya faham apabila pakar-pakar ekonomi lain mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap Malaysia tetapi ini adalah unjuran kami buat masa ini,” katanya semasa taklimat media sejajar dengan penerbitan laporan bank tersebut bertajuk “Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik” di sini hari ini.

Tambahnya, Bank Dunia melihat pertumbuhan sederhana Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang serta peningkatan pada 2017 dan seterusnya pemulihan sederhana pada 2018 dan 2019.

Laporan terkini Bank Dunia menyatakan subsidi kerajaan yang tinggi, lebih banyak perbelanjaan infrastruktur dan peningkatan eksport akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.3 peratus pada 2017 dan 4.5 peratus pada 2018.

Tambah Sudhir, Bank Dunia menjangkakan permintaan domestik akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia sepanjang tahun dan dengan pasaran buruh yang stabil serta langkah-langkah menyokong pendapatan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan mengekalkan penggunaan swasta dalam tempoh singkat.

Namun menurut beliau, kedudukan fiskal kerajaan juga kekal di bawah tekanan.

“Ini sebabnya mengapa kami tidak mengekalkan unjuran pertumbuhan kepada Malaysia tahun ini,: jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast