KUALA LUMPUR – Nilai jualan perdagangan borong dan runcit berjumlah RM90.1 bilion bagi bulan Februari 2017 dengan pertumbuhan sebanyak 8.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2016.

Nilai jualan ini meliputi perniagaan perdagangan borong (RM44.1 bilion), perdagangan runcit (RM35.7 bilion) dan kenderaan bermotor (RM10.3 bilion).
Pertumbuhan positif ini disumbang oleh perniagaan perdagangan runcit (8.7%) dan perdagangan borong (8.5%).

Jabatan Statistik dalam kenyataannya berkata, Indeks volum perdagangan borong dan runcit meningkat 5.0 peratus kepada 146.3 mata bagi bulan Februari 2017 berbanding bulan Februari 2016.

Petumbuhan ini disokong oleh peningkatan dalam perdagangan runcit (6.0%), kenderaan bermotor (4.6%) dan perdagangan borong (4.2%). Indeks volum pelarasan bermusim perdagangan borong dan runcit meningkat 0.9 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya.

Sementara itu nilai jualan bagi perniagaan perdagangan borong mencatatkan pertumbuhan 8.5 peratus kepada RM44.1 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan bulanan, nilai jualan bagi perniagaan ini menurun 4.3 peratus.

Indeks volum perdagangan borong meningkat 4.2 peratus kepada 152.2 mata pada bulan Februari 2017 berbanding Februari 2016. Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks volum Perdagangan Borong (pelarasan bermusim) meningkat 0.5 peratus berbanding bulan sebelum.

Perniagaan perdagangan runcit pula merekodkan peningkatan nilai jualan kepada RM35.7 bilion atau 8.7 peratus berbanding setahun yang lalu. Bagi perbandingan bulan ke bulan, perniagaan ini mencatatkan penurunan 1.1 peratus.

Indeks volum perdagangan runcit meningkat 6.0 peratus kepada 152.2 mata pada bulan Februari 2017 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Berbanding dengan bulan sebelumnya, indeks volum pelarasan bermusim perdagangan runcit meningkat 0.5 peratus.

Nilai jualan bagi perniagaan kenderaan bermotor pada bulan ini meningkat 5.8 peratus kepada RM10.3 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Nilai jualan perniagaan Kenderaan Bermotor ini merosot 9.1 peratus bagi perbandingan bulanan, kata Jabatan Statistik.

Perbandingan tahun ke tahun, indeks volum kenderaan bermotor meningkat 4.6 peratus kepada 116.5 mata pada bulan Februari 2017.

Indeks volum pelarasan bermusim Kenderaan Bermotor meningkat 1.5 peratus pada bulan Februari 2017 berbanding bulan Januari 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast