Nasharudin Mat Isa. foto NOOR ASREKZAIREY SALIM, 09 DISEMBER 2016.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menuduhnya menerima sejumlah dana daripada syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Develoment Bhd. (1MDB).

Beliau menyifatkan dakwaan Rafizi yang dibuat menerusi akuan berkanun hari ini sebagai satu fitnah dan berniat jahat kepada dirinya dan Pas.

“Saya dengan ini menegaskan bahawa segala penyataan beliau yang melibatkan saya adalah tidak ada kaitan dengan diri saya malah kenyataannya itu adalah fitnah dan berniat jahat kepada saya dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

“Saya dengan ini juga menafikan dengan sekeras-kerasnya pernah menerima apa jua bentuk bayaran atau sumbangan daripada sumber-sumber seperti yang dinyatakan oleh beliau melalui tuduhan yang tidak berasas dalam Kenyataan Bersumpah (SD) tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Rafizi dalam akuan bersumpahnya mendedahkan Nasharudin telah menerima dana melibatkan 1MDB melalui akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rafizi mendakwa memperolehi maklumat tersebut daripada bekas pegawai paling kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut terlibat menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Rafizi juga menyerahkan bukti kepada SPRM di ibupejabat suruhanjaya hari ini dalam bentuk akuan berkanun dengan menamakan bekas Timbalan Presiden Pas itu sebagai penerima dana 1MDB.

Akuan berkanun itu turut menjadikan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Selasa lalu bahawa siasatan ke atas SRC International masih berjalan serta boleh dijadikan bukti dan tiada alasan kes tersebut tidak dipercepatkan.

Mengulas lanjut, Nasharudin yang juga Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) berkata, beliau sedia bekerjasama dengan SPRM dalam sebarang siasatan mengenai dakwaan tersebut.

“Saya juga telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk langkah seterusnya termasuklah memulakan tindakan undang-undang dan apa jua tindakan yang wajar untuk dilakukan menurut lunas undang-undang yang mana dianggap wajar dan suai manfaat,” katanya. – MalaysiaGazette