KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan negara China bagi mewujudkan satu mekanisme di antara negara itu dengan negara-negara Asia lain bagi membanteras rasuah di rantau ini.
Persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan di antara Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dengan Timbalan Menteri Biro Pencegahan Rasuah Kebangsaan dan Ketua Pengarah Bahagian Kerjasama Antarabangsa Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin, Liu Jianchao dari China, hari ini.
“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk bekerjasama dari sudut siasatan dan pandangan dalam isu-isu berkaitan rasuah, salah guna kuasa serta peningkatan kemampuan dalam membasmi rasuah di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama ini juga sekali gus akan membuka ruang dan peluang kepada SPRM bagi meluaskan usaha perjuangan memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa dengan negara-negara lain pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut SPRM kunjungan hormat tersebut merupakan satu usaha bagi menyambung hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak dalam memerangi rasuah. – Malaysia Gazette