Radulan Sahiron

ZAMBOANGA CITY – Radulan Sahiron, pemimpin daripada Kumpulan Abu Sayyaf telah menyatakan hasrat untuk menyerah diri kerana sakit tua.

Komander tentera Mindanao barat, Leftenan Jeneral Carlito Galvez kata, Sahiron telah meluahkan hasratnya itu kepada beberapa orang tua di Sulu.

“Operasi berterusan terhadap Abu Sayyaf dari Talipao, Patikul, Mainbubg dan bahagian lain di Sulu, ini juga melibatkan Sahiron,” kata Galvez.

Sahiron, pemimpin bersenjata Kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Sulu, dipercayai berusia pertengahan 70-an.

Berikutan tindakan 11 orang pengikut Abu Sayyaf dari Tawi-Tawi yang menyerah diri, Galvez berkata, langkah itu bukan sahaja membabitkan pengikut bawahan.

“Mereka kini merasakan bahang operasi, dan mereka juga merasai keikhlasan Presiden (Rodrigo Duterte) untuk menerima penyerahan mereka,” kata Galvez.

“Sahiron menimbang menyerah diri kerana sudah tua,” katanya.

Tetapi Galvez berkata, Sahiron tidak mahu Filipina menyerahnya kepada Amerika Syarikat atau negara-negara lain.

“Dia mahu kerajaan Filipina untuk mengendalikan kesnya,” katanya.

Octavio Dinampo, seorang profesor Universiti Mindanao dan mangsa culik Kumpulan Abu Sayyaf mendakwa Sahiron menderita penyakit diabetes.

Dinampo mendakwa Sahiron mempunyai 70 pengikut yang juga saudara-maranya.

Laman web Biro Siasatan Persekutuan menyatakan penangkapan atau peneutralan Sahiron ditawarkan ganjaran di bawah Program Kehakiman.

Jabatan Negara menawarkan hadiah sehingga $1 juta (RM4.4 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan Sahiron.

FBI berkata, Sahiron dikehendaki kerana didakwa terlibat dalam kes penculikan seorang rakyat Amerika di Sulu dan mangsa telah ditahan selama 23 hari pada tahun 1993. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast