KUALA LUMPUR – Dalam satu tinjauan rambang yang dibuat di Johor Bahru baru-baru ini, Malaysia Gazette mendapati rata-rata rakyat negeri itu menyambut baik perlantikan Tunku Ismail Tunku Ibrahim(TMJ) sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Rata-rata yang ditemui berharap agar TMJ dapat memberi penambahbaikan terhadap bola sepak negara seperti yang dilakukan baginda terhadap bola sepak negeri Johor melalui pasukan Johor Darul Tazim (JDT).

Bagi Hilman Abu Bakar, perlantikan TMJ sebagai Presiden FAM yang baru dapat memantapkan lagi badan itu daripada segi pengurusan, kerana ia merupakan aspek paling penting dalam mana-mana badan atau pertubuhan tidak kira sukan atau apa-apa bidang sekalipun.

“Pengurusan. Harap TMJ akan majukan lagilah masa akan datang. Kalau boleh nak majukan lagilah, mana tahu boleh lepas pergi jauh lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi Mohd Arshad Haslam, 30, pembaharuan drastik yang dibuat oleh TMJ terhadap JDT sebelum ini membuktikan presiden baru itu mampu menggalas tanggungjawab besar untuk memantapkan bola sepak negara.

Melihat kejayaan demi kejayaan yang dikecap JDT dibawah kepimpinan TMJ, tidak mustahil pasukan bola sepak negara juga mampu melalui fasa perubahan yang sama drastik seterusnya jauh lebih cemerlang dari sedia ada.

Justeru, sebagai peminat dan penyokong bola sepak tempatan, Arshad yang juga anak jati negeri Johor itu mensasarkan pasukan bola sepak Malaysia berjaya melangkah kaki ke Piala dunia FIFA dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Memang satu perubahan yang baguslah. Sebelum ni banyak perkara tak elok pasal FAM. TMJ dah jadi presiden ni kita harap satu pembaharuan yang drastiklah.

“Kita pun dah nampak pada JDT. Daripada orang tak nak tengok bola, sekarang orang dah mula tengok bola. Begitu juga rombakan yang dia(TMJ) buat pada FAM. Harap bola sepak kita (Malaysia) boleh pergi jauh.

“Memang kita sukar untuk ke Olimpik dan World Cup, tapi tidak mustahil mungkin TMJ ada plan dia sendiri. Seperti JDT yang sudah jadi fenomena.

“Kalau ikutkan saya, dalam dua atau tiga tahun Malaysia dah boleh ke peringkat Piala Dunia. Sama speerti JDT, naik mendadak, katanya ketika ditemui.

Bagi pemastautin di negeri itu, Ramzi Abdul Razak yang berasal dari Kedah, berkata, kehadiran TMJ dalam persatuan utama bola sepak negara itu dapat membersihkan badan itu daripada pelbagai skandal.

“Saya sokonglah TMJ jadi Presiden FAM. Ada benda yang tersembunyi dalam FAM tu yang kita tidak tahu.

“Bila dia(TMJ) jadi Presiden FAM, banyak benda yang dia dedahkan yang kita tak tahu jadi dalam (FAM) tu. Macam hilang RM100 juta dulu. Kemana pergi duit tu?”

Namun, dari segi pencapaian bola sepak negara di bawah kemudi TMJ, pasukan bola sepak negara ini boleh dan mampu untuk sekali lagi ke Olimpik seperti yang pernah dicapai oleh pasukan negara pada tahun 1980.

Seterusnya berjaya melangkah kaki ke Piala dunia FIFA namun, bagi Ramzi ia bukanlah dalam tempoh waktu yang terdekat ini.

Menurutnya, dalam keadaan sukar ketika ini, generasi yang ada pada hari ini hampir mustahil untuk melihat pasukan negara ke Piala Dunia atau Olimpik tetapi tidak mustahil bagi generasi yang akan datang.
“Untuk sampai ke World Cup tu tak kesampaian la bagi orang yang berumur macam saya. Memang tak tercapai kot. Mungkin generasi yang akan datang boleh tercapai kot,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Bulan lepas, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Tunku Ibrahim disahkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia yang baru, setelah pencabarnya, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Anuar Musa menarik diri pada saat- saat akhir.

Sejurus perlantikan itu, beberapa perubahan drastik dalam badan induk bola sepak itu dibuat oleh TMJ termasuk pengumuman Mario Gomez sebagai ketua jurulatih baru namun atas beberapa sebab ia tidak menjadi kenyataan.
Keputusan itu sekali gus menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee yang kini diberi tugas mengambil alih skuad bawah 22 tahun yang kini dikendalikan Frank Bernhardt.

Sebagai rujukan, pasukan bola sepak negara pernah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rusia pada 1980 namun memboikot acara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast