Sebahagian daripada 5,080 gram dadah jenis syabu yang dirampas oleh pihak Polis DiRaja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia daripada dua suspek warga Nigeria. foto SAFWAN MANSOR, 17 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menafikan dakwaan laporan agensi berita Indonesia bahawa pihak berkuasa di Malaysia tidak mahu bekerjasama dengan negara lain dalam memerangi dadah.

Pengarah JSJN, Datuk Seri Mokhtar Mohd Shariff berkata, laporan itu tidak tepat sama sekali.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berita itu mengenai pihak berkuasa di negara ini.

“JSJN mempunyai kerjasama erat dengan rakan pihak berkuasa di rantau Asia, khususnya jiran terdekat Indonesia.

“Perlu ingat bahawa pada 13 Januari lepas, kita bekalkan maklumat besar yang kemudian membawa kepada kejayaan Indonesia merampas dadah bernilai tinggi yang membolehkan warag Nigeria, Indonesia dan Hong Kong ditahan.

“Saya tidak setuju dakwaan berita Indonesia itu yang menuduh kita tidak bekerjasama, sebaliknya Malaysia sangat tegas dalam menghapuskan sindiket dadah sejak perang terhadapnya dilancarkan pada tahun 1980,” katanya ketika ditanya pemberita di Bukit Aman pagi ini.

Beliau mengadakan sidang media berhubung kejayaan JSJN menumpaskan sindiket dadah dengan tertangkapnya dua suspek warga Nigeria berusia 31 dan 33 tahun.

Kedua-dua suspek itu direman sehingga 19 April untuk disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, polis Malaysia banyak membantu dalam kerja-kerja risikan selain mengendalikann kes dadah menerusi kerjasama hubungan dua hala. – MalaysiaGazette