Dr. Zakir Naik

PUTRAJAYA – Malaysia sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan India berhubung siasatan terhadap pendakwah bebas, Dr. Zakir Naik yang didakwa terlibat dengan keganasan dan menganjurkan permusuhan antara masyarakat berasaskan kaum dan agama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu sedia untuk diambil kerajaan tetapi ia harus mengikut sistem perundangan termasuk aspek diplomatik diantara kedua-dua negara.

“Jika ada permintaan (daripada kerajaan India) kita akan bekerjasama (membantu siasatan terhadap Zakir Naik).

“Siasatan tidak boleh dibuat di Malaysia kerana siasatan hendaklah dibuat di oleh pihak yang menggunakan siasatan itu. Tetapi MLA (Mutual Legal Assistant) diperolehi jika negara itu mempunyai hubungan perjanjian dengan negara kita.

“Ini bukan soal serah menyerah tetapi soal siasatan, jadi kita mengikut sistem perundangan yang ada di negara kita dan kerangka hubungan diplomatik yang ada, ” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC 2017) di Putrajaya hari ini.

Zakir sebelum ini dipanggil Agensi Siasatan Negara India (NIA) yang mengeluarkan notis terhadap Zakir Naik untuk datang bagi soal siasat pada 14 Mac.

Mengulas mengenai itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Zakir Naik sudah mempunyai status penduduk tetap lima tahun lepas.

Jelasnya, status itu diberikan sebelum beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

“Saya ingin mengesahkan bahawa beliau berstatus penduduk tetap di Malaysia tetapi beliau bukan warganegara Malaysia.

“Saya fikir kedudukan beliau bertaraf penduduk tetap adalah lima tahun lalu sebelum saya jadi Menteri Dalam Negeri,” katanya lagi.

Pada awal bulan lalu, Ahmad Zahid memaklumkan Zakir tidak dihalang masuk dan tinggal di Malaysia beliau kerana tidak tersenarai sebagai entiti pengganas dalam senarai undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, Zakir tidak terkandung dalam senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSCR) 1988 dan UNSCR 1267.

Justeru, menurut kementeriannya tiada halangan bagi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas kemasukannya kerana tidak melanggar undang-undang negara. -MalaysiaGazette.