Anina bersama Kamarul Azman di awal penubuhan PPBM.

KUALA LUMPUR – Bekas penaja Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin terkejutnya dengan berita Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu, Kamarul Azman Habibur Rahman keluar parti dan meletakkan semua jawatan.

Katanya, beliau mengenali Kamarul Azman yang dikenali sebagai Cikgu Kamarul sebagai pengerak Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) untuk membantu Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam gerakan ‘Undur Najib’.

“Hari ini PPBM dikejutkan dengan perkembangan terbaru apabila Cikgu Kamarul Azman Habibur Rahman mengambil keputusan untuk keluar parti.

“Cikgu Kamarul adalah sahabat baik saya, malah saya menganggap beliau sebagai abang. Jika saya memulakan penentangan dari dalam UMNO ke atas Najib Razak atas kapasiti individu sebagai ahli Wanita UMNO sehingga tindakan menyaman Presiden UMNO di mahkamah, Cikgu Kamarulzaman pula mengetuai sekumpulan ahli UMNO dari cawangan-cawangan UMNO di Teluk Kemang.

“Akhirnya beliau menggerakkan GKCM di seluruh Malaysia untuk membantu Tun M dalam gerakan Undur Najib. Tiada sesiapa yang boleh menafikan jasa bakti Cikgu Kamarul Azman dalam gerakan Undur Najib yang dicetuskan oleh Tun M,” katanya.

Anina menyifatkan Cikgu Kamarul sebagai insan kerdil yang menggerakkan ribuan ahli UMNO untuk memberi sokongan kepada Tun M ketika PPBM belum ditubuhkan.

Katanya, beliau masih ingat ketika bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ratusan yang lain berkumpul di Bangunan UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada Cikgu Kamarul ketika beliau dan beberapa sahabatnya dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin UMNO.

Ujar beliau, tidak ramai dalam PPBM mampu menyampaikan ucapan dan syarahan yang hebat.

“Saya selesa sepentas dengan Cikgu Kamarul. Kami punyai nada yang sama ketika melaungkan ucapan untuk menggerakkan adrenalin rakyat menentang kerajaan kleptokrasi yang durjana.

“Tiada langsung rasa takut, semuanya dihambur keluar satu persatu dalam fakta dan kebenaran.

“Saya sering berhubung dengan Cikgu Kamarul kerana kami sahabat baik ketika berjuang dalam UMNO, di luar UMNO, dalam Deklarasi Rakyat, dalam PPBM hinggalah sekarang,” ujarnya.

Kata Anina, walauapa pun keputusan Cikgu Kamarul, ianya tidak akan mengubah jiwa persahabatan mereka termasuklah dengan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

“Walaupun kami tidak sependapat dalam beberapa isu berkaitan politik. Saya sentiasa memberi pendapat dan nasihat kepada mereka sebagai adik, namun saya tetap menghormati walau apa jua keputusan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

PPBM sudah jauh lari daripada matlamat asal – Kamarul