Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pas hari ini memulakan serangan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menuduh parti itu sebagai malapetaka kepada perpaduan Melayu.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, mengapa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyerang Pas sedemikian rupa hanya kerana tidak mahu menyertai Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut berkata kenapa menyalahkan Pas untuk berjuang bersendirian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang.

“Pas masih di blok pembangkang. Jangan perasan Tun (Mahathir) sahaja hendak melawan BN. Pas juga (mahu) melawan BN. Semasa Tun berkuasa pun kami lawan. Tun baru hendak belajar melawan BN. Belajarlah menjadi pembangkang.

“Sekarang baru Tun tahu betapa peritnya menjadi pembangkang di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahathir semalam menyifatkan penubuhan Pas merupakan malapetaka buat orang Melayu yang masih menyokong parti berkenaan yang pada pandangan beliau memecahbelahkan masyarakat Melayu.

Malah keengganan Pas untuk menyertai PH menyebakan BN akan memenangi PRU14 akan datang kerana pembangkang gagal mencapai matlamat satu lawan satu.

“Dengan Pas bertanding dan menjadikan pertandingan tiga atau lebih penjuru, kesannya ialah memecahbelah musuh-musuh BN (UMNO).

“Pas akan kalah dan mengheret turun parti pembangkang lain. UMNO akan menang, kerana penyokong parti lawan berpecah,” kata Mahathir dalam penulisan blognya semalam.

Mengulas mengenai itu, Idris berkata, Mahathir mungkin lupa pada zaman pemerintahannya dalam UMNO, parti itu dilihat sudah berpecah sehingga terbentuknya Parti Semangat 46 dan PKR.

“Kalau Tun terlupa saya hendak ingatkan kepada Tun. Bukankah zaman Tun, Melayu berpecah? Selama 22 tahun Tun berkuasa, tiga timbalan Perdana Menteri terpelanting.

“Lahir team A dan team B di dalam UMNO sehingga UMNO diharamkan. Zaman Tun lahirnya Parti Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat,” katanya. -MalaysiaGazette.