KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, rakan seperjuangannya, Anina Saadudin menjadi mangsa percaturan politik parti itu.
Katanya, bekas Ketua Penaja Srikandi PPBM itu melalui episod malang sepanjang berjuang di awal sehingga PPBM diumumkan sebagai parti politik yang sah.
“Anina orang pertama menjadi mangsa politik perebutan kuasa dalam PPBM. Dia langsung tidak dibela, apatah lagi mendapat pembelaan.
“Sepatutnya kes ini ditangani dengan baik kerana Anina antara orang yang mula-mula sekali berjuang menubuhkan parti baharu (PPBM) selepas dipecat dari UMNO,” katanya pada sidang media mengumumkan keluar PPBM di sini hari ini.
Anina keluar parti setelah Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md. Salleh mengeluarkan kenyataan menyatakan, bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Langkawi itu bukan Ketua Srikandi PPBM.
Menjawab soalan, Kamarul Azman yang dikenali sebagai Cikgu Kamarul tidak sedih meletakkan jawatan sebagai AMT, Ketua Penaja Teluk Kemang dan Setiausaha Kerja PPBM serta membatalkan keahliannya.
“Daripada saya sedih berada dalam parti, lebih saya berundur dan berharap PPBM dapat kembali kepada perjuangan asal untuk memberi kekangan kepada parti lawan iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Cikgu Kamarul turut memberitahu, bagaimana sedihnya beliau apabila parti menghantar wakil yang tidak mempunyai pengalaman untuk berbincang berhubung kedudukan parti sebagai komponen Pakatan Harapan (PH).
“Apabila saya persoalkan, parti memberitahu, wakil itu orang lama dalam parti (sebelum ini UMNO) dan tahu apa dia nak buat. Parti ketepikan begitu saja pandangan saya,” katanya. – MalaysiaGazette