NILAI- Setelah beberapa pemimpin dan orang kuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meninggalkan parti itu, lebih ramai pemimpin serta ahli dijangka mengikut jejak sama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Bekas Ketua Aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin yang turut mengmbil langkah sama sebelum ini berkata kepada MalaysiaGazette, pengunduran Cikgu Kamarul yang diumumkan dalam sidang media semalam sudah dijangka lebih awal.
Tambah beliau, gejala kronisme yang tidak terkawal yang semakin parah dalam parti itu, bakal mendorong lebih ramai ahli serta pemimpin akan meninggalkan parti tersebut.
“Banyak lagi. Banyak lagi yang tak puas hati dan akan keluar parti seluruh negara, seluruh Malaysia. Ini menunjukkan PPBM tidak mendapat sokongan daripada rakyat negara ini,” katanya.
Tambah Anas, antara faktor yang mendorong pemimpin serta ahli untuk meninggalkan parti itu selepas ini apabila kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai peneraju utama parti gagal memperjelaskan kepada ahli berkenaan isu perlantikan ketua-ketua bahagian dalam PPBM.
Menurutnya, terdapat ramai pemimpin akar umbi yang dilantik oleh kepimpinan Muhyiddin, merupakan individu yang bukan sahaja tidak dikenali dalam parti, malah identitinya meragukan ahli lain.
Ia berikutan amalan kronisme yang paling teruk pernah ada dalam mana-mana parti dalam negara ini.
“Ada orang yang terlibat daripada awal penubuhan parti ini sejak tahun lepas, bukan saja tidak dilantik, tapi ‘dirampas’ oleh orang yang tidak dikenali.”
“Kewujudan mereka ini diluar jangkaanlah. Ini menunjukkan parti ini ada satu fenomena baru yang PPBM ini tidak dapat kawal.
“Parti-parti lain, dapat kawal parti dia, parti ini d iluar kawalan. Ibarat keluarga yang anak-anaknya bergaduh tiap hari sampai keluar rumah.”
Terdahulu, ‘orang kuat’ Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang juga pengasas PPBM mengambil keputusan parti itu diikuti dengan bekas Senator, Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang hanya menjadi ahli kurang dari tiga bulan.
Terbaru, seorang lagi pengasas PPBM, Cikgu Kamarul Azman Habibur Rahman mengumumkan keluar daripada parti itu.- MalaysiaGazette