TELUK INTAN – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Pengerusi DAP negeri itu, Nga Kor Ming adalah pemimpin yang tidak berintegriti kerana sering melakukan pelbagai penipuan mengenai tadbir urus kerajaan negeri terutama berhubung prestasi Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak.
Menurutnya tuduhan dan tohmahan yang sering dilemparkan Nga serta pemimpin parti itu terhadap kerajaan negeri hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat negeri ini.
“Saya rasa tidak perlu saya layan dia lagi kerana dia telah berbohong dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai pelbagai isu termasuk MB Inc dan bertindak sedemikian kononnya dialah manusia paling berintegriti,” katanya.
Zambry bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mahabbah Bersama Institusi Agama Islam Negeri Perak Daerah Hilir Perak sempena program Pemukiman Menteri Besar di Hilir Perak di Masjid Simpang Empat, Chenderong Balai di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Nga yang mencabarnya supaya mendedahkan secara terperinci butiran mengenai prestasi MB Inc Perak meliputi aset, jumlah hutang, status projek dan tender dalam tempoh 24 jam.
Nga mendakwa tindakan itu perlu dilakukan berikutan kesemua persoalan yang dibangkitkan beliau dalam persidangan DUN Perak baru-baru ini gagal dijawab kerajaan negeri kerana telah dihalang atas perintah yang dikeluarkan Speaker DUN, S Thangesvari.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata acara berunsurkan keagamaan yang dianjurkan di setiap program pemukiman bertujan untuk menggalakkan penyertaan golongan belia menyertai majlis kerohanian dan kesihatan.
Beliau berkata sebagai contoh, program Fit Masjid yang dianjurkan memberi perspektif kepada golongan belia bahawa untuk cergas, ia tidak tertumpu kepada aspek penjagaan kesihatan semata-mata tetapi lebih tertumpu kepada aspek kerohanian.
“Kita wujudkan program sebegini supaya ia dapat mengelakkan anak muda terjebak dengan gejala negatif serta fahaman ektremis yang boleh menjuruskan mereka dengan perkara tidak baik dan tidak memberi manfaat,” katanya.- MalaysiaGazette