KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan parti serpihan, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan mampu bertahan lama selepas bibit perpecahan dalaman sudah mula kelihatan.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, PPBM tidak membawa aspirasi perubahan yang dimahukan oleh rakyat dan perpecahan lebih teruk dijangka berlaku dalam parti tersebut.
“Parti sebegini tidak boleh membawa aspirasi rakyat yang mahukan perubahan.
“Jadi saya menjangkakan berlaku lebih banyak perpecahan dalam PPBM sebagaimana berlaku dalam PAN. Perebutan kerusi untuk bertanding, dan perebutan untuk menjadi pemimpin akan berlaku dalam parti sebegini,” katan Khairuddin dipetik laman portal BNBBC.
Khairuddin juga menyifatkan parti seperti PPBM yang lebih mementingkan kebencian semata-mata dalam kalangan pemimpinnya dan ini menyebabkan mereka tidak tahu erti perjuangan dalam penubuhan sesebuah parti itu.
“Kebencian akan surut. Manusia yang berhimpun atas kebencian sahaja belum tentu dapat bersama menggarap agenda kerana itu apa yang penting ialah dasar perjuangan dan dasar penubuhan parti,” ujarnya.
Terdahulu, salah seorang pengasas PPBM Kamarulazman Habibur Rahman mengumumkan keluar parti, malahan sebelum ini juga ada beberapa pemimpin akar umbi PPBM di Seremban dan Baling juga mengambil langkah sama meninggalkan parti. – MalaysiaGazette