KUALA LUMPUR – Pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman meluahkan rasa sakit hatinya dengan program Mentor Milenia 2017 yang disiarkan di TV3 malam tadi.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berkata, ini kerana sebagai penaja menerusi produk Milenia Champ Champ, beliau tidak dibenarkan mempromosi produk itu sepanjang program itu berlangsung.
Beliau memberitahu, pihak produk sangat berkira sehingga nama produk terbaharunya itu tidak boleh disebut pengacara kecuali di awal dan penghujung program.
“Sebut pun tidak boleh. Berkira dan saya sampai hendak pengsan. Sakit hati saya sangat-sangat dan tidak sangka sampai macam itu sekali,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Gara-gara insiden itu, wanita berusia 46 itu meluahkan isi hatinya di laman sosial Instagram miliknya tengah malam tadi hingga mencuri tumpuan netizen apabila kesihatannya turut terganggu melibatkan penyakit darah tingginya.
Luah Vida, beliau faham jika muka dan produknya tidak boleh keluar televisyen namun kenapa hendak sebut nama produknya pun tidak boleh.
Videonya itu sehingga pagi ini sudah ditonton lebih 78,000 penonton sejak tengah malam tadi.
Vida yang terkenal dengan produk Pamoga dan Qu Putih kembali menaja program Mentor Milenia 2017 bermula minggu lalu gara-gara program realiti itu yang menjadi fenomena sejak bersiaran bulan lalu.
Tahun lalu, beliau menaja program itu bermula minggu pertama hingga ke konsert akhir.
Penghujung Januari lalu, jutawan kosmetik itu mempersoalkan tindakan TV3 yang tidak menjemput beliau ke Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31).
Vida mendakwa, alasan yang diberikan oleh penganjur kerana telah kehabisan tempat duduk di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.
Dia yang pernah menaja AJL29 dan AJL30 memberitahu, apa salahnya sekiranya TV3 menjemputnya ke anugerah berprestij sebagai menghargai sumbangannya dalam membantu industri muzik selama ini. – MalaysiaGazette