KUALA LUMPUR – Pembahagian dua pemerintahan wilayah Armada Barat dan Armada Timur adalah bertujuan bagi mengimbangi kawalan keselamatan angkatan tentera laut di kawasan barat dan timur perairan negara dengan lebih berkesan.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pembahagian dua armada itu penting agar pihaknya berupaya memberikan tindak balas yang lebih efektif dan cepat sekiranya berlaku sebarang ancaman dari aspek keselamatan maritim.
“Ia bagi menjamin kedaulatan perairan negara kita. Strategi ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dan komited dalam memastikan keselamatan maritim negara diberi perhatian yang tinggi khasnya untuk masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama.
Ahmad Kamarulzaman berkata pemecahan itu berdasarkan perspektif yang ada iaitu Malaysia ialah sebuah negara maritim yang mempunyai banyak sumber dan kepentingan seperti gas asli dan minyak yang perlu dijaga khususnya di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Sebelum ini pemerintahan TLDM berpusat di Pangkalan TLDM Lumut di bawah Panglima Armada TLDM Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli yang dilantik sebagai panglima Armada Barat.
Kerajaan telah meluluskan melalui Majlis Angkatan Tentera (MAT) untuk Armada TLDM dipecahkan kepada dua yang mana pemerintahan Armada Barat di Lumut dan pemerintahan Armada Timur terletak di Kota Kinabalu.
Ahmad Kamarulzaman berkata pemecahan dua armada itu akan dilancarkan pada sambutan hari ulang tahun TLDM yang akan diadakan secara besar-besaran di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu pada 27 April ini.
Beliau berkata pelancaran itu akan disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan acara pemakaian Insignia kepada Panglima Armada Barat iaitu Mohamad Roslan serta Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata lebih 400 orang komuniti maritim yang terdiri daripada nelayan dan pelaut telah menyertai Aplikasi K3M (kesedaran, keselamatan, komuniti maritim) yang dilancarkan bersempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 pada Mac lepas.
“Kami akan memperluaskan inisiatif K3M kepada komuniti maritim di perairan Sabah dan Sarawak yang akan turut dilancarkan pada hari sambutan ulang tahun TLDM di Kota Kinabalu dalam usaha TLDM untuk bekerjasama rapat dengan komuniti maritim di negara ini,” katanya.
Katanya ia bagi memperkasakan kawalan keselamatan di perairan itu menerusi perkongsian maklumat serta hubungan baik dengan komuniti maritim menggunakan aplikasi K3M selain pendekatan bersemuka melalui program Rakan Maritim (RAKAM) Kementerian Pertahanan ketika rondaan maritim dilakukan.
“Pusat Operasi Markas TLDM akan menghantarkan bantuan segera sebaik menerima panggilan kecemasan menerusi aplikasi itu dengan lebih cepat kerana dengan hanya klik pada maklumat kecemasan dan memaklumkan masalah atau ancaman yang dihadapi, kami boleh mengesan lokasi mereka dengan tepat tanpa dimaklumkan.
“Saya harap lebih ramai nelayan dan pelaut akan mendaftarkan diri untuk menggunakan teknologi ini demi kemudahan diri mereka sendiri ketika di laut dan keselamatan perairan negara kerana ramai yang tidak sedar akan kewujudan pasukan keselamatan di laut,” katanya.
Ahmad Kamarulzaman berkata kerjasama daripada agensi-agensi keselamatan maritim yang lain seperti APMM dan polis marin juga penting di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi membantu memantapkan operasi TLDM.
Katanya ini kerana setiap masalah dan ancaman yang terdapat di perairan negara akan ditangani secara bersama oleh kesemua agensi berkaitan.-MalaysiaGazette