KUALA LUMPUR – Perwatakan seorang alim dan memakai berkopiah, orang ramai pasti tidak menyangka pengasas sebuah syarikat dikenali sebagai Alfafa Group didakwa telah berjaya menipu ratusan orang menerusi tawaran rumah banglo murah.
Selepas menyepi hampir setahun, pengasas yang diberi gelaran “Norscammer” dikesan kembali giat memulakan semula aktiviti penipuannya, dan yang terbaru dikesan menggunakan masjid di Puncak Alam untuk mencari mangsa-mangsa yang tertarik dengan tawaran palsu beliau.
Khairul Ezuwan, seorang penasihat kewangan yang sudah dua tahun secara sukarela melawan kegiatan penipuan itu baru-baru ini mendedahkan kemunculan semula pengasas skim penipuan itu selepas terlihat beberapa kain rentang di Puncak Alam.
Beliau secara kebetulan menetap di kawasan tersebut.
Tidak berpuas hati dan rasa bertanggungjawab untuk mengelak lebih ramai ditipu oleh individu sama, Khairul Ezuwan mengambil keputusan untuk bersemuka dengan “Norscammer” di Masjid Baru Puncak Alam pada 24 April lalu di mana beliau mengatur satu pertemuan dengan bakal pembeli.
“Lepas hampir setahun kau diam dan bisukan diri hingga menangis semua mereka-mereka yang kau khianati, kau muncul semula. Tapi kau dah salah tuju tempat. Puncak Alam ni tempat aku.
“Yang kau nak tipu tu jiran-jiran aku, kawan-kawan aku. Kau fikir aku akan diam? Kau gunakan masjid kami sebagai markas singgahan kau. Kau gunakan masjid untuk menipu orang ramai. Ye la kan, dalam masjid takkan la orang nak menipu.. pandai kau nak mainkan persepsi ni kan,” tulisnya dalam status Facebooknya.
MalaysiaGazette kemudiaan menghubungi Khairul Ezuwan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang tindakannya dalam melawan individu “Norscammer” selepas tular video yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya.
“Tidak ada makna saya nak lawan sebab populariti, sebab populariti yang ada lah saya ada kemampuan dan bertanggungjawab untuk lawan.
“Walaupun tidak dapat tangkap mereka, sekurang-kurangnya dapat halang lebih ramai mangsa terjerat,” kata beliau.
Menurut beliau, untuk kes skim penipuan Alfafa sahaja sudah 300 orang yang dikumpulnya menjadi mangsa dan syarikat itu sekarang sudah tidak tahu ke mana.
“Alfafa sudah macam tidak ada, semua kakitangan, agen, pengarah sudah keluar selepas mereka kantoi,” katanya.
Daripada hasil semakan laman syarikat tersebut, www.alfafagroupberhad.com, didapati domain tersebut tidak diperbaharui dan status terakhir dalam akaun Facebooknya adalah bertarikh 21 April 2016.
Bagaimanapun, carian MalaysiaGazette dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati sebanyak 57 nama syarikat yang didaftar dengan nama Alfafa.
Semakan rekod dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati Norsham memiliki satu rekod polis di mana terdapat satu laporan dibuat terhadapnya oleh seorang individu berhubung dakwaan menceroboh tanah di Setapak.
Selain itu, seorang individu lagi, Afyan Mat Rawi, yang juga sering membuat pendedahan mengenai skim penipuan Alfafa ini turut membuat semakan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan mendapati syarikat itu tidak pernah diberikan lesen dalam projek pembinaan yang dikatakan dibina oleh mereka.
Skim penipuan ini menggunakan modus operandi yang mudah dengan menawarkan harga rumah banglo yang tidak munasabah dan mereka yang berminat perlu membayar deposit dengan amaun tertentu yang dipersetujui , kemudian perlu menunggu 48 bulan untuk rumah yang dijanjikan itu siap.
Untuk menarik orang ramai, mereka menawarkan pemberian tunai dengan amaun tertentu sepanjang tempoh 48 bulan kepada pembeli yang akan dimasukkan ke dalam akaun.
Selain itu, Alfafa juga mewajibkan pembeli supaya mengikut kursus solat dan seminar pengajian Al-Quran.
Bagaimanapun, selepas 48 bulan rumah yang dijanjikan tidak siap dan impian mereka yang berharap untuk memiliki rumah impian berkecai selepas mendapati tawaran Alfafa itu hanya janji kosong.
Khairul Ezuwan yang tidak mahu melihat lebih ramai tertipu khususnya di kawasan kejiranan di Puncak Alam mengambil langkah berani apabil turun sendiri membuang kain rentang yang diletak sepanjang jalan sekitar daerah itu. – MalaysiaGazette.
Comments are closed.