Orang Ramai membanjiri Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Pengunjung-pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (PBAKL17) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini teruja dengan penganjuran jualan gedung ilmiah kali ke-36 itu.

Malah, rata-rata yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, sememangnya tidak rugi dia datang ke pesta buku tersebut kerana semua yang dimahukan boleh dimiliki.

Tinjauan mendapati, kebanyakan pengunjung pada hari kedua ini terdiri daripada golongan remaja berumur 18 hingga 25 tahun.

Seorang penuntut tingkatan enam, Dalilati Dayana Abdul Ghafar, 18, berkata, kehadirannya ke pesta buku itu sangat berbaloi kerana buku rujukan yang dicari sejak beberapa hari lalu diperoleh di sini.

Dalilati Dayana Abdul Gafar
Dalilati Dayana Abdul Gafar

Katanya, bukan sahaja buku sekolah tetapi bahan bacaan sampingan yang tidak ditemui di kedai-kedai buku ada dijumpai di pesta buku berkenaan.

“Saya dah agak buku yang dicari mesti ada dijual di sini. Sebab itu saya memang nak sangat datang ke sini.

“Lagipun, kita boleh dapat buku-buku dengan harga yang murah kerana penjual ada pesaing dan mereka kena mencatur harga,” katanya.

Rakannya, Syarifah Afiqah Syed Shahrin, 18, pula berkata, walaupun baru dua hari pesta buku itu berlangsung tetapi sudah ada pempamer yang menjual buku dengan potongan sebanyak 50 peratus.

Syarifah Afiqah Syed Shahrin
Syarifah Afiqah Syed Shahrin

Katanya, perkara seperti itu memang jarang berlaku kerana kebiasaannya diskaun hanya akan diberikan pada hari terakhir program diadakan.

“Dengan RM50 saya sudah dapat tiga buah buku yang saya mahukan.

“Pesta buku seperti ini memang bagus diadakan selalu kerana ia memberi manfaat. Bukan sahaja boleh mendapatkan buku dengan harga yang murah tetapi pelbagai jenis bacaan boleh dapat dengan mengunjungi pesta buku yang semaacam ini,” ujarnya.

Sementara itu, Naim Abd Aziz, 22, pula berkata, pemilihan lokasi iaitu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memang sangat sesuai.

Naim Abdul Aziz
Naim Abdul Aziz

Katanya, orang ramai boleh menggunakan pengangkutan awam seperti Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) untuk datang tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya terutama pada hari cuti seperti hari ini.

“Saya percaya dengan adanya kemudahan pengangkutan awam di sini (PWTC), pesta buku ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

“Pengunjung juga tidaklah terlalu berasak-asak untuk berkunjung dari satu gerai ke gerai lain kerana ruang di bangunan ini luas dan selesa,” katanya.

PBAKL17 anjuran Kementerian Pendidikan melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia akan berlangsung selama 10 hari dan telah bermula semalam.

Ia menyasarkan kehadiran 2.5 juta pengunjung dan disertai 304 pempamer iaitu 276 pempamer tempatan dan 28 pempamer antarabangsa daripada beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Iran dan Mesir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast