SALAHUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR – Rakyat Johor boleh mendapat kehidupan dan pendapatan yang lebih baik sekiranya pemimpin Kerajaan Negeri Johor bersih dan tidak bergelumang dengan jenayah rasuah.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub mendakwa, sekiranya pentadbiran Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak rasuah dan menjaga kebajikan, rakyatnya tidak perlu bersusah-payah ke Singapura.

“Sebahagian besar 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dalam sektor kolar biru adalah mereka dari Johor. Sedih saya melihat situasi ini, rakyat Johor boleh dapat lebih baik daripada ini jika pemimpin di atas tidak rasuah.

“Kita bangunkan Johor dengan pelbagai peluang ekonomi yang tinggi dan meningkat kadar gaji minimum untuk rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tentang Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 19 April lalu atas 33 pertuduhan bersubahat bersama seorang juru runding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.

Latif selaku Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu, dua minggu selepas anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 25, dan pegawai khasnya, Muhammad Idzuan Jamalludin ditahan.

Mereka disiasat dalam skandal melibatkan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera melibatkan beberapa pemaju di Johor.

SPRM sebelum ini menyita 45 akaun bank berjumlah RM15.5 juta, di samping merampas 26 kenderaan dan motosikal mewah serta dokumen.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, tidak mustahil jika Johor ditadbir oleh kepimpinan baharu Pakatan Harapan yang bebas rasuah dapat memahami kehendak dan aspirasi rakyat mahu taraf kehidupan yang lebih baik.

“Tinggi harapan saya sebagai anak Johor dan juga sebahagian besar pekerja di Johor untuk melihat martabat golongan pekerja diangkat setaraf dengan perkembangan sosio-ekonomi dan sosial rakyat Johor.

“Harga barang keperluan harian yang semakin mahal dan kos hidup tinggi semakin menyukarkan kehidupan golongan pekerja ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast