Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Kebajikan dan kualiti hidup pekerja di negara ini kekal menjadi fokus utama bagi Kerajaan Barisan Nasional.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sejak bertahun-tahun kerajaan telah menyediakan jaringan keselamatan yang kukuh kepada warga pekerja dan terus melakukannya melalui pelbagai inisiatif.

Ini kerana, kerajaan sedar tenaga kerja sama ada veteran, pekerja industri kolar biru atau profesional dalam bidang masing-masing, telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan negara.

“Pembangunan ekonomi Malaysia telah didorong oleh usaha rakyat. Melalui cabaran dan ketidaktentuan global, negara kita telah bertungkus-lumus meneruskan keazaman untuk bangkit.

“Produktiviti membawa kepada peningkatan daya saing ekonomi dan tahap pendapatan yang lebih tinggi untuk tenaga kerja, seterusnya akan menjadi platform untuk kerajaan mencapai cita-cita untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pekerja di sini.

Tiong Lai berkata, meskipun begitu ada yang pihak yang tidak mempunyai visi dan pandangan jauh skeptikal untuk memahami kepentingan usaha kerajaan untuk melindungi tenaga kerja di Malaysia, pada masa sama mencapai pertumbuhan ekonomi.

Namun begitu, beliau percaya kerajaan berada pada landasan yang betul untuk berkembang kompetitif, seiring negara maju, malah lebih banyak inisiatif yang diterajui kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast