KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mengesahkan bahawa bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkongsi kerusi sebagai Penasihat Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu, kata Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu berkata, ia diputuskan dalam satu mesyuarat PH yang diadakan semalam.
“Untuk pertama kalinya, mesyuarat bersetuju untuk menerima struktur gabungan pembangkang yang akan segera didaftarkan.
“Penasihat gabungan ini adalah Mahathir dan Anwar. Sementara beliau masih ditahan dipenjara, Datuk Seri Wan Azizah (Wan Ismail) akan mewakilinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Malah Pengerusi PH pula dipikul Presiden PKR, Wan Azizah manakala dirinya, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula memegang jawatan timbalan pengerusi PH.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Generasi Baru, Datuk Khairuddin Abu Hassan meminta PH melantik Mahathir sebagai penasihat bersama dalam gabungan pembangkang itu.
“Kedua-dua tokoh besar yang bertembung hebat kini bergabung demi menyelamatkan Malaysia. Saya sendiri seperti tidak terfikir situasi ini menjadi kenyataan,” ujar Mat Sabu.
Dalam pada itu, logo bersama antara gabungan PH akan mula digunakan tiga minggu lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.
“Semalam semua pimpinan utama PH telah bermesyuarat dan kita telah putuskan akan menggunakan logo yang sama.
“Sekali lagi kita pertegaskan PH akan menggunakan satu logo, satu manifesto dan hanya satu calon PH untuk melawan Barisan Nasional,” katanya.
Semua pemimpin utama hadir semalam termasuk Wan Azizah dan Mahathir. – MalaysiaGazette