Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR – UMNO sama sekali tidak bergantung kepada kelemahan dan masalah pihak lawan sebaliknya rakyat sendiri dapat menilai apa yang telah dilakukan UMNO selama ini dalam membela nasib mereka.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tidak kira apa pun status parti lawan ketika ini, UMNO akan tetap meneruskan baktinya terhadap rakyat.

“Biarlah mereka dengan cara mereka untuk menyelesaikan masalah mereka walaupun ada pihak yang mengatakan UMNO akan semakin kuat jika parti lawan berpecah sesama mereka.

“UMNO ada cara tersendiri dalam menabur khidmat bakti dan rakyat tahu apa yang telah kami lakukan selama ini dalam membela nasib mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Dakwah dan Perpaduan Ummah Zon Utara di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Dr Yusri Mohamad dan Pengerusi Majlis Dakwah Negara Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid.

Ahmad Bashah berkata demikian mengulas tindakan PAS yang memutuskan hubungan politik (tahaluf siyasi) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Muktamar Tahunan PAS Ke-63 semalam.

Tindakan PAS itu menjadikan parti berteraskan Islam tersebut bakal bergerak sendiri dalam pilihan raya umum akan datang dan ada yang berpendapat PAS akan gagal menarik sokongan rakyat untuk menyokong mereka nanti.

Ahmad Bashah berkata PAS telah membuat keputusannya dan wajar semua pihak menghormati keputusan itu kerana dalam politik adalah sesuatu yang biasa berlaku.

“Apa pun kita mengalu-alukan jika keputusan PAS ini boleh menjadi yang terbaik bagi hubungan dengan UMNO nanti tetapi bagaimanapun pelbagai kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu Mahmood Zuhdi meminta umat Islam tidak menjauhkan diri dengan golongan yang dinamakan Islam liberal sebaliknya perlu bersama-sama mendekati mereka agar tidak terlalu jauh meminggirkan Islam.

Katanya mungkin mereka sedikit terbawa-bawa dengan pengaruh pihak tertentu namun ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh diperbetulkan asalkan kena dengan cara mendekati golongan itu.

“Begitu juga golongan Islam yang dinamakan ekstremisme kerana yang betul bagaimana golongan ini diberikan hidayah dan petunjuk untuk kembali kepada landasan Islam sebenar,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast