KUALA LUMPUR – Nampaknya kemelut politik Selangor semakin panas terutama selepas Pas isytihar ‘bercerai’ dengan PKR baru-baru ini.

Macam-macam khabar angin kedengaran. Ada kata wakil rakyat PKR keluar parti bergabung dengan Pas dan UMNO untuk tubuh kerajaan baharu.

Ada juga kata wakil rakyat Pas masuk PKR bagi ‘memperkuatkan’ kerajaan sedia ada.

Bagaimanapun cerita empat wakil rakyat PKR keluar parti paling heboh dan orang yang bertanggungjawab ialah bekas Menteri Besar Selangor sendiri iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim.

Malah Khalid dikatakan sudah pergi ke istana bagi mengadap Sultan Selangor semalam.

Bagaimanapun baginda berada di luar negara sekarang dan Khalid hanya menetapkan tarikh untuk mengadap sultan dengan pegawai istana.

Berdasarkan blog Cuit Zaini Hassan bertajuk Fiasco Kerajaan Selangor: Dialog Saya Dan Primadona Politik Negara hari ini, tindakan Khalid itu mendapat restu daripada pimpinan Pas.

Khalid pun sebelum ini bukan main memuji Pas selepas menghadiri muktamar parti itu di Kedah baru-baru ini.

Berbalik pada blog pengarang kanan Utusan Malaysia, Datuk Zaini bertanya kepada individu yang ditulis UH dan dia mengaku sudah menghubungi Ten**Su****** bagi tujuan pengesahan.

Menurutnya, Sultan Selangor dijangka pulang pada minggu depan.

Sementara itu, ada berita tular di alam maya ada pula wakil rakyat Pas di Selangor keluar parti dan masuk PKR dan kononnya disahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri.

Seperti biasa, selagi belum pasti ia masih khabar angin tetapi mengambilkira sejarah politik Selangor, segala-galanya boleh berlaku.- MalaysiaGazette