Orang ramai mengambil bantuan Sumbangan Tunai Rahmah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di BSN Bukit Tinggi, Klang, Selangor. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kepada 8.7 juta penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing secara berperingkat dibuat mulai esok, 7 November 2024.

Pembayaran terakhir STR melibatkan peruntukan RM3.4 bilion dan kerajaan telah menyalurkan hampir RM10 bilion kepada penerima STR dan SARA sepanjang tahun 2024 berbanding RM8 bilion pada tahun 2023.

Kementerian Kewangan berkata, ada masa yang sama, Kerajaan Madani akan menyalurkan bantuan tunai tambahan one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8 juta penerima STR yang bukan daripada kumpulan miskin dan miskin tegar mengikut kaedah pembayaran STR mulai 9 Disember 2024 (Isnin).

Manakala baki 700,000 penerima STR daripada kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima manfaat bantuan SARA sepanjang tahun.

Dengan penambahan bantuan tunai ini, isi rumah berkelayakan akan menerima sehingga RM1,000 untuk pembayaran akhir STR bagi tahun ini dan ini selaras dengan keprihatinan kerajaan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Melalui Belanjawan 2025 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menambah baik STR dan SARA 2025 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM13 bilion.

“Peningkatan peruntukan sebanyak 30% adalah yang tertinggi pernah diberikan kerajaan untuk menangani kos sara hidup rakyat. Ia akan memanfaatkan hampir 60% penduduk berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Kenaikan peruntukan ini merupakan hasil penstrukturan semula kewangan Kerajaan yang mengambil pendekatan untuk mengagihkan semula kekayaan negara kepada rakyat terbanyak,” katanya.

Kerajaan juga membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

Ini bagi memastikan mereka yang layak, namun tiada dalam pangkalan data kerajaan tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat.

Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan selain data daripada beberapa agensi kerajaan lain untuk disemak kelayakan STR 2025
mengikut syarat yang ditetapkan.

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.

Kementerian Kewangan (MOF) ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), Kementerian Kewangan tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast