Home Ekonomi Pelawaan tender pertama HSR akhir tahun ini

Pelawaan tender pertama HSR akhir tahun ini

KUALA LUMPUR – Pelawaan tender pertama bagi projek Keretapi Api Laju Kuala Lumpur-Singapura akan dilakukan pada suku keempat tahun ini bagi tujuan membentuk aset-aset syarikat.

Ia diikuti dengan tender infrastruktur pada suku pertama tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, proses awal melantik rakan pembangunan bersama dan perunding rujukan telah selesai dilakukan pada awal tahun ini.

Menurut beliau, projek itu telah menarik minat syarikat antarabangsa untuk membida tender-tender infrastruktur.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Simposium HSR yang dianjurkan oleh Kerajaan Jepun.

Projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dijangka siap pada tahun 2026.

Bagaimanapun, Syed Hamid enggan mendedahkan kos sebenar HSR.

“Masih terlalu awal lagi. Kerajaan akan memutuskan pembida terbaik yang boleh menawarkan harga terbaik yang mana kedua-dua kerajaan (Malaysia dan Singapura) boleh menerimanya.

Beliau berkata, setiap projek perlu dilakukan mengikut peruntukan bajet kerana kerajaan mempunyai kewangan yang terhad manakala selebihnya diambil oleh syarikat-syarikat.

Tambahnya, pembida asing perlu memastikan kandungan 40 peratus Bumiputera supaya perniagaan tempatan juga boleh mendapat manfaat. – MalaysiaGazette