Home Politik Blogger pembangkang bela Zairil bertukar pasangan

Blogger pembangkang bela Zairil bertukar pasangan

KUALA LUMPUR – Ada blog pro pembangkang membela tindakan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berhubung skandalnya dengan beberapa wanita berbeza.

Selepas gambarnya bercium dengan calon DAP Pilihan Raya Kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud tersebar pada pertengahan bulan lalu, netizen dikejutkan lagi dengan sebuah rakaman pendek yang dimuat naik di Facebook Tun Carlos.

Video tersebut menunjukkan Zairil berpegangan tangan dengan seorang wanita yang merupakan wartawan yang bertugas di sebuah portal berita.

Blog pro pembangkang mula membela tindakan Zairil itu apabila menyatakan beliau boleh berpacaran dengan ramai wanita.

“Masyarakat tidak seharusnya menyalahkan Ahli Parlimen Bukit Bendera, YB Zairil Khir Johari bila beliau sering kali dilihat berhubungan dengan pelbagai wanita berbeza – selain dari isterinya.

“Sebagai lelaki yang beragama Islam, Zairil bukan sahaja boleh berpacaran dengan ramai wanita, kahwin pun boleh sampai 4 orang!! Jadi apa masalahnya?” tulis blog SuaraPakatanHarapan.com.

Penulis blog itu turut menyatakan Zairil tidak wajar dipersalahkan dalam hal tersebut kerana sebagai lelaki beliau sudah tentu tidak akan menolak peluang yang terhidang di depan mata.

“Sepatutnya wanita-wanita itu semualah yang dipersalahkan kerana masih keluar dengan Zairil sekalipun sudah tahu lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai anak, bukan Zairil. Bukan Zairil merahsiakan perkahwinannya pun.

“Bercakap tentang itu (berkahwin dan mempunyai anak), yang isteri Zairil pun tak berkata apa, kita pulak sibuk nak menghukum itu dan ini, siapa kita,” tulis blogger itu lagi.

Tulisan blogger terbabit mendapat reaksi sebuah laman portal pro Barisan Nasional yang mempertikaikan perkara itu.

Menurut portal tersebut, pembangkang tidak wajar membela Zairil kerana tindakannya itu yang jelas telah mencemar keperibadiannya.

“Persoalannya kini, adakah pemimpin sebegini yang kita mahu warisi buat cucu cicit kita akan datang? Adakah di tahun 2050 nanti kita mahu melihat aktiviti seperti melacur, meliwat, bergaul bebas lelaki perempuan amat berleluasa daripada pucuk pimpinan negara sehinggalah ke peniaga pasar malam?

“Jika ada dari kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berkelakuan tidak bermoral sebegini, sudah semestinya pihak pembangkang akan mendesak beliau melepaskan jawatan serta merta sehingga sanggup melakukan demonstrasi dan sebagainya.

“Namun ketika pemimpin mereka sendiri yang terpalit dengan isu-isu sebegini, kemana perginya mereka yang kununnya mahu berjuang atas nama rakyat? Adakah rakyat mahu moral masyarakat kita rendah?” tulis laman portal berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast