KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2017 yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Mei ini mampu menjadi penghubung kepada generasi muda untuk lebih dekat dengan kerajaan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, sambutan yang bakal disertai lebih 100,000 peserta dari seluruh negara itu merupakan komitmen kerajaan dalam membuat transformasi kepada masyarakat khususnya golongan belia.

“Belia mahu suara mereka didengar dan mahu peranan mereka diktiraf serta inspirasi mereka diambil berat oleh kerajaan.

“Walaupun ekonomi di seluruh negara berada dalam keadaan meruncing tetapi sambutan ini tetap kita adakan.

“Ini menunjukkan bukti bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang mengiktiraf dan mendengar suara anak-anak muda agar peranan mereka diberi perhatian yang secukupnya,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pra Pelancaran Hari Belia Negara 2017 di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.

Mengulas lanjut, Mua’amar berkata, pelbagai aktiviti disusun pada sambutan yang akan diadakan nanti menerusi segmen-segmen tertentu.

Katanya, antara yang menarik ialah Anugerah Belia Negara, Konvensyen Belia Kebangsaan 2017, Seni dan Budaya, Karnival Ushawan Artis Tanahair, Ekspresi Kerohanian, Pendidikan dan Kemahiran, sukan serta banyak lagi.

Tambahnya, meskipun penganjuran pada kali ini dilaksanakan dalam skala sederhana namun, MBM tetap mensasarkan penglibatan belia dari semua peringkat.

Sementara itu, Saravanan dalam sidang media berkenaan berkata,
KBS sangat berpuas hati dengan pendirian MBM sebagai agensi yang sentiasa sedia untuk berdepan dengan generasi muda.

Katanya, KBS sentiasa menyahut cabaran bersama MBM supaya segala matlamat untuk memperkasa golongan berkenaan tercapai.

“Kalau dilihat pada hari ini cabaran oleh generasi muda adalah berbeza dengan cabaran-cabaran sebelum.

“Sebagai agensi yang mempunyai hubung kait dengan generasi muda MBM merupakan agensi yang kuat dan KBS akan sentiasa bersamanya supaya kita dapat mencapai matlamat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast