Ihebom Obinna Edward,

SHAH ALAM – Seorang penuntut warga Nigeria yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana menyogok polis supaya tidak mengambil tindakan terhadap dirinya.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan demikian selepas tertuduh, Ihebom Obinna Edward, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut menetapkan wang rasuah tersebut dilucut hak mengikut Akta SPRM 2009.

Dia didakwa memberi suapan wang RM4,000 kepada Lans Koperal Joyner Joel Jaudas yang bertugas di Balai Polis Bandar Sunway supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu dilakukan di balai polis berkenaan kira-kira jam 8 malam, 28 April lalu.

Mengikut pertuduhan, dia telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau
RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail. – MalaysiaGazette